“Masih terngiang-ngiang suara isteri memanggil saya. Dia menjerit ‘abang’ sambil melambai sebelum hilang dari pandangan.” Begitulah luahan hati Abdul Wahid Randa, 32, suami kepada Sakirah Akop, 31, yang hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Triang, semalam.
Menurut laporan Kosmo!, kejadian berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari itu cukup tragis apabila kereta Perodua Bezza yang dinaiki Sakirah dan anak perempuan mereka tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.

Foto: Kosmo!
Ketika itu, kenderaan tersebut diparkir berhampiran sungai, manakala Abdul Wahid berada di tebing sungai untuk memancing.
Dalam detik cemas itu, Sakirah sempat membuka pintu kereta dan menyerahkan anak kepada suaminya sebelum dirinya dihanyutkan oleh arus deras.
“Saya cuba tahan kereta dan bergegas ke arah isteri. Dia sempat tolak pintu dengan kakinya dan hulur anak kepada saya.
Saya bawa anak naik ke tempat selamat dan tinggalkan dia di atas. Tapi bila saya nak turun semula untuk selamatkan isteri, anak ikut saya. Masa tu saya nampak isteri dah mula hanyut,” katanya.

Foto: FB Bera
Tambahnya, dia menjerit meminta pertolongan namun tiada sesiapa berada di kawasan tersebut pada waktu kejadian.
Dalam keadaan panik, dia terus berlari ke pasar berdekatan untuk mendapatkan bantuan.
Tidak lama selepas itu, beberapa penduduk tiba di lokasi namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana arus sungai terlalu deras.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir memaklumkan bahawa kereta mangsa telah berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) sekitar jam 10.45 pagi tadi.

Foto: FB Bera
“Kereta itu berjaya dinaikkan pada jam 12.30 tengah hari, namun tiada jasad ditemukan di dalamnya. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam radius 200 meter dari lokasi kejadian,” ujarnya.
Pasukan penyelamat kini sedang giat meneruskan usaha bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih hilang.
Sumber: Kosmo! (Azizah Shafiei)
