Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa satu taklimat khas berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights akan diadakan pada Isnin ini, khusus untuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor, tanpa mengira latar belakang parti.
Taklimat khas isu letupan di Putra Heights
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, Amirudin berkata arahan itu dibuat selepas sesi taklimat Rang Undang-Undang serta mesyuarat Pre-Council bersama para wakil rakyat negeri semalam.

Foto: Carian Google
“Saya telah mengarahkan agar satu Taklimat Khas Berhubung Isu Letupan Paip Gas di Putra Heights dilaksanakan pada hari Isnin ini kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri Selangor. Taklimat ini akan dibuat khusus kepada semua wakil rakyat tidak mengira wakil Kerajaan mahupun Pembangkang,” tulisnya.
Menurut Amirudin, beliau turut memohon kepada Speaker Dewan Negeri Selangor agar pihak kerajaan diberikan ruang untuk memberi penerangan lanjut mengenai isu tersebut dalam sidang DUN akan datang.
Artikel lain: Tiada Unsur Jenayah, Polis Klarifikasi Insiden Putra Heights Sebagai NFA
Tambah beliau, kerajaan negeri komited terhadap prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Taklimat khas ini diumumkan susulan kritikan pelbagai pihak terhadap laporan siasatan insiden letupan yang disifatkan tidak menyeluruh dan kurang maklumat penting.

Foto: Malaysiakini
Antara yang mengkritik laporan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ab Halim Tamuri yang mendakwa siasatan terlalu bergantung kepada jawatankuasa dalaman dan menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Namun begitu, Amirudin menolak dakwaan itu dengan menegaskan bahawa siasatan telah dijalankan secara menyeluruh, merangkumi pemeriksaan terhadap sampel paip dan tanah serta kajian pergerakan air di lokasi kejadian.
Pada Isnin lalu, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat menjelaskan bahawa paip gas yang terlibat memenuhi spesifikasi teknikal, namun bahagian bawahnya didapati tidak disokong sepenuhnya oleh tanah yang lembut dan lembap, menyebabkan kegagalan fizikal dan kebocoran gas sebelum tercetusnya kebakaran.

Foto: Astro Awani
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian dalam kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai .tiada tindakan lanjut.
Mengakhiri kenyataannya, Amirudin menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak menyembunyikan sebarang maklumat dan bersedia mempertimbangkan siasatan lanjutan oleh pihak bebas jika perlu.
“Kerajaan Negeri ini berdiri atas prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan akauntabiliti. Kita menjunjung penuh prinsip dan mandat rakyat,” katanya.
Sumber: Facebook @Amirudin Shari
