Dua pelajar berusia 16 tahun diarahkan membersihkan tompokan darah di lokasi tempat Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Menurut laporan Harian Metro, dua pelajar tingkatan empat diarahkan membersihkan tompokan darah selepas Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Mustapha, Limauan pada 16 Julai lalu.
Perkara itu didedahkan pengawal keselamatan sekolah, Linah Mansoding, 65, yang memberi keterangan di Mahkamah Koroner hari ini.
Menurutnya, arahan dipercayai datang daripada warden utama, Ustaz Azhari, sebaik sahaja ambulans membawa Zara Qairina meninggalkan kawasan sekolah.
Artikel lain: Inkues Zara Qairina: Telefon Awam Asrama Ditutup Dua Hari Selepas Kejadian
“Ada darah keluar dari kaki Zara. Dua pelajar membersihkan kawasan selepas ambulans beredar. Seorang pengawal keselamatan lelaki turut membantu dengan menyalakan lampu suluh,” katanya.
Linah berkata, darah yang pada mulanya jelas kelihatan berhampiran longkang akhirnya hilang akibat hujan lebat.
Namun, kesan hitam dipercayai darah masih dapat dilihat sehingga kini.
Saksi itu juga memaklumkan dia melihat sendiri bagaimana Zara Qairina dialihkan oleh dua pelajar bersama seorang rakan sekelas serta Ustaz Azhari.
“Ketika itu Zara tidak memakai tudung, sebahagian bahagian atas tubuhnya terbuka, dan tiada kasut atau selipar berhampiran.
“Saya juga nampak darah mengalir dari tengkuk dan kaki kirinya hingga tulang terkeluar,” ujarnya.
Linah turut meniru bunyi mencungap ketika menggambarkan keadaan mangsa sewaktu cuba dikejutkan, sementara menunggu ambulans yang hanya tiba selepas sejam.
Menjawab soalan peguam keluarga, Shahlan Jufri, tentang sebab mangsa dialihkan, saksi berkata, mereka kasihan akan Zara Qairina.
Tambahnya, lokasi Zara ditemukan sudah dua bulan bergenap tanpa lampu.
Linah juga mengakui pernah diminta Ustaz Azhari memadam gambar keadaan Zara kerana bimbang ia tersebar sekiranya telefonnya dipinjam pelajar lain.
Bagaimanapun, gambar berkenaan telah dikemukakan sebagai bahan bukti dalam inkues
Linah tampil sebagai saksi keenam di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu yang kini memasuki hari ke-17.
Sumber: Harian Metro (Olivia Miwil)
