Baru-baru ini, tular sebuah kisah menyentuh hati melibatkan seorang suami, Khairul Azhar Jainal Abidin, 27, yang terpaksa reda akan pemergian arwah isterinya, Ain Farhana Mohd Fadzli akibat komplikasi pendarahan otak sejurus melahirkan anak kedua mereka di Hospital Shah Alam.
Helena tak sempat rasai pelukan bonda
Berita pasangan ini telah mendapat liputan meluas sehingga warganet turut meluahkan rasa simpati terhadap anak yang telah kehilangan ibu manakala suami yang telah kehilangan seorang isteri.
Menerusi hantaran di media sosial, seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Mr Wan Cai berkonsgi perkembangan anak arwah setelah genap 13 hari umurnya lahir di dunia.
“Ramai yang bertanya dan ingin mengetahui perkembangan bayi kepada almarhumah Ain Farhana, ibu syahid yang telah pergi menghadap Ilahi dalam keadaan penuh pengorbanan.
“Dengan keizinan daripada bapanya, En. Khairul Azhar, saya kongsikan wajah si kecil ini buat tatapan semua. Bayi perempuan ini diberi nama Helena Attiya Binti Khairul Azhar.
“Secantik nama, seindah ciptaan Allah SWT. Hari ini, genap 12 hari usia Helena Attiya. Sayangnya, si kecil ini lahir ke dunia tanpa sempat merasai pelukan dan belaian kasih seorang ibu,” tulis Wan di Facebook, semalam.
Dalam pada itu, Wan turut memberitahu pemergian Ain Farhana bukan sahaja merupakan kehilangan besar buat Helena malah turut dirasai oleh anak sulungnya, Uthman Attaki.
“Lebih menyayat hati, arwah Ain Farhana tidak sempat melihat wajah anak yang dikandung selama sembilan bulan, dan pergi menghadap Allah tanpa sempat menatap zuriatnya.
“Berita duka ini cukup menghiris hati, Satu kisah pengorbanan dan kasih ibu yang berakhir dalam duka paling dalam. Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh anak yang baru lahir, tetapi juga oleh anak sulung mereka, Uthman Attaki, yang baru berusia 2 tahun. Dua insan kecil ini kini membesar tanpa kasih sayang dan sentuhan seorang ibu,” jelasnya.
Wan juga berkata, suami kepada Ain Farhana kini menggalas satu tanggungjawab yang amat berat membesarkan dua orang anak tanpa isteri dan mendoakan Khairul diberi kekuatan untuk melalui takdir yang sudah tertulis ini.
“En. Khairul Azhar, seorang ayah yang kini menggalas amanah untuk membesarkan dua anak kecil seorang diri.
“Semoga beliau diberikan kekuatan luar biasa, ketabahan yang tinggi, dan ketenangan jiwa dalam menghadapi ujian besar ini. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan perlindungan-Nya buat beliau dan anak-anak.
“Insya-Allah, keluarga arwah Ain Farhana dan keluarga En.Khairul Azhar akan terus memberi sokongan dan bantuan agar zuriat arwah Ain Farhana membesar dalam lingkungan kasih sayang,” tambahnya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, warganet mendoakan kesejahteraan kedua-dua anak arwah dan mendoakan agar mereka membesar menjadi anak yang soleh serta solehah.
Malah ada juga wargamaya berkongsi tip penjagaan bayi di awal usia dan berharap agar baby Helena diberi kesembuhan serta kesihatan yang berpanjangan.
Moga jadi penghafal Al-Quran
Mengandung di dunia berpantang di syurga
Moga cepat hilang kuning
Artikel lanjut: Tak Sempat Tatap Wajah Bayi, Ibu Muda Hembus Nafas Terakhir Selepas Bersalin
Difahamkan juga, baby Helena Attiya masih mengalami penyakit kuning dan belum pulih sepenuhnya.
Sumber: Facebook Mr Wan Cai
