Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 yang menetapkan kadar minimum RM1,700 sebulan akan berkuatkuasa sepenuhnya kepada semua majikan di seluruh negara bermula 1 Ogos ini, tanpa mengira jumlah pekerja yang digajikan.
Gaji minimum RM1,700
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Facebook, pelaksanaan menyeluruh ini meliputi semua sektor, termasuk pekerja bukan warganegara serta pekerja kontrak perantisan. Bagaimanapun, perintah tersebut tidak terpakai kepada pekhidmat domestik.

Foto: Carian Google
“Majikan perlu menyemak semula struktur gaji masing-masing agar tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan,” katanya hari ini.
Terdahulu, kadar gaji minimum RM1,700 ini telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula diperkenalkan secara berperingkat sejak 1 Februari lalu, khusus kepada majikan yang menggaji lima orang pekerja dan ke atas serta yang terlibat dalam aktiviti profesional mengikut klasifikasi Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.
Bagaimanapun, mulai Ogos ini, semua kategori majikan yang sebelum ini diberikan penangguhan perlu turut mematuhi kadar baharu ini tanpa pengecualian.
Artikel lain: Anak Robert Kuok Dilapor Jadi CEO Shangri-La, Terima Gaji RM 312,000 Sebulan
KESUMA turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi perintah ini merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), yang boleh membawa denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja.
Jika kesalahan itu berterusan selepas sabitan, majikan boleh didenda RM1,000 setiap hari, manakala bagi kesalahan berulang, denda maksimum mencecah RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Selain memastikan pematuhan, majikan juga disaran untuk membuat penyesuaian operasi secara progresif, termasuk meningkatkan pelaburan dalam latihan kemahiran dan produktiviti pekerja.

Foto: Carian Google
Dalam usaha menyokong perkembangan jangka panjang tenaga kerja negara, KESUMA turut menggalakkan majikan mempertimbangkan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) secara sukarela.
“Melalui DGP, majikan boleh meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan tahap kemahiran dan produktiviti, selain menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan pelaksanaan gaji minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau menerusi laman rasmi KESUMA.
Sumber: Facebook @Kementerian Sumber Manusia
