Seorang lelaki berusia 22 tahun dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Klang pada Rabu selepas mengaku bersalah membunuh dan membakar kekasihnya yang sedang hamil dalam kejadian di Sabak Bernam dua tahun lalu.
Fakrul Aiman dihukum gantung
Menurut laporan Utusan, Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Muhammad Fakrul Aiman Sajali membuat pengakuan tanpa syarat sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Foto: Bernama
Tertuduh yang berusia 22 tahun turut mengaku menerima semua fakta kes serta 112 eksibit yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Norliza menegaskan bahawa tindakan tertuduh merupakan perbuatan yang dirancang selain menunjukkan sifat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Dalam kes ini, bukan saja mangsa dan kandungan bayi berusia 18 minggu mati, malah berlakunya elemen kecederaan.
“Selain kesan tikaman di dada dan leher dihiris, perut mangsa dibelah untuk mengeluarkan janin sebelum mayat itu disimbah pula dengan minyak petrol.
“Ini jenayah yang dirancang untuk membunuh mangsa dan kesalahan berat. Perbuatan kamu sadis dan kejam,” katanya.

Foto: Bernama
Tambah beliau, sebagai individu berpendidikan tinggi, perbuatan tertuduh itu sama sekali tidak boleh diterima dan satu-satunya hukuman yang setimpal ialah gantung sampai mati.
Artikel lain: Cemburu Isteri Curang, Lelaki Tikam Rakan Serumah Sebelum Gantung Diri
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh seorang wanita, 21, di Jalan Sungai Limau, Sungai Besar, antara jam 8.30 malam pada 22 Mei hingga 8 pagi, 23 Mei 2023.

Foto: TT @mai_kopitiam
Atas perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Muhammad Nor Tamrin merayu agar mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara memandangkan anak guamnya yang ketika itu berusia 20 tahun didakwa sekadar menjadi ‘kambing hitam’ dalam kejadian tersebut.
“Keputusan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan spesimen darah mendapati dia bukannya bapa kepada anak dalam kandungan mangsa.
“Anak bongsu daripada lima beradik itu tiada rekod displin dan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8 di akhir semester,” ujarnya.
Sumber: Utusan (Iskandar Shah Mohamed)
