Seorang lelaki menjadi perhatian netizen selepas mengisi minyak RON95 ke dalam beberapa tong di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas baru-baru ini.
Lelaki terbabit meninggalkan komen di Facebook Utusan Melayu Plus selepas menerima kecaman dalam kalangan pengguna media sosial.
Dia menjelaskan bahawa dirinya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa memfitnah atau menyebarkan maklumat tidak tepat mengenai tindakannya melalui penghantaran Letter of Demand (LOD).
“Ni saya pemiliknya hadir.. Teruskan komen tidak membina atau terima surat LOD kerana memburukkan saya. Setiap stesen minyak hanya membenarkan pembelian minyak dalam tong sebanyak 20 liter sahaja.
“Saya ada permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pembelian 100 liter sehari,” katanya.
Susulan aduan itu, pihak KPDN Pulau Pinang menghantar sepasukan pegawai penguat kuasa ke lokasi bagi menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut.
Pengarah KPDN negeri, Jegan R Subramaniam berkata, semakan mendapati individu terbabit adalah seorang nelayan yang memiliki permit sah untuk pembelian bahan api.
“Permit dikeluarkan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa dan tertakluk kepada had kuota yang ditetapkan. Sehubungan itu, aktiviti pembelian minyak oleh individu tersebut mematuhi peraturan dan tidak melibatkan sebarang kesalahan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan bahawa pembelian bahan api melebihi 20 liter ke dalam tong memerlukan permit khas bagi barang kawalan berjadual, yang lazimnya dikeluarkan untuk kegunaan seperti pertanian dan perikanan.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan.
“KPDN akan terus komited memastikan pematuhan undang-undang serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook Utusan Melayu Plus






































