Mahkamah Tinggi akan memutuskan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh seorang pemilik akaun TikTok kepada Datin Seri Rosmah Mansor pada 8 Julai ini, selepas wanita itu memenangi saman fitnah berhubung dakwaan mengamalkan ilmu hitam.
Menurut laporan Berita Harian, kes ini melibatkan Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, yang dinamakan sebagai defendan selepas gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman tersebut pada tarikh ditetapkan.

Foto: Berita Harian
Akibat kegagalan itu, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman ingkar memihak kepada Rosmah pada 28 Mei 2024.
Perbicaraan untuk menentukan taksiran ganti rugi berlangsung secara dalam talian melalui aplikasi Zoom, dan dipengerusikan oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Menurut peguam Rosmah, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, pihaknya telah memfailkan hujahan untuk sesi pendengaran itu.
“Ketika pendengaran, mahkamah telah membangkitkan persoalan undang-undang di mana seorang lagi peguam plaintif, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff telah memohon satu tarikh singkat untuk memfailkan hujahan ringkas bagi menjawab persoalan undang-undang yang dibangkitkan.
“Hujahan perlu difailkan dalam masa dua minggu dan keputusan taksiran ganti rugi ditetapkan pada 8 Julai 2025,” katanya.
Rosmah memfailkan saman tersebut pada 19 September 2023 atas dakwaan bahawa defendan telah memuat naik satu video ke akaun TikTok miliknya pada 22 Mac 2023, yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Dalam kenyataan saman, Rosmah menyatakan bahawa video berkenaan menggambarkan dirinya sebagai individu yang melakukan perbuatan berdosa, terlibat dalam amalan syirik, serta dikaitkan dengan bomoh, syaitan dan individu jahat.

Foto: The Star
Menurutnya, tuduhan tersebut telah menjejaskan reputasinya sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia dan penaung kepada pelbagai badan amal. Akibatnya, beliau telah dipandang serong oleh masyarakat.
Rosmah menuntut beberapa bentuk ganti rugi termasuk ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, selain sebarang perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Sumber: Berita Harian (Suraya Ali)
