Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia perkenal fasiliti pengujian infrastruktur untuk menjalankan ujian penuh produk Railway Sleepers dan Railway Bearers yang digunakan dalam industri pembinaan rel di Malaysia menerusi Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) yang diuruskan oleh Construction Research of Malaysia (CREAM).
Fasiliti ini telah siap pada tahun 2023 dan CREAM, sebuah institusi di bawah CIDB Malaysia berhasrat untuk memperluaskan lagi pengujian rel MKRM yang merangkumi semua komponen rel seperti trek, fastener, welded joint dan keseluruhan sistem rel.
Menerusi satu kenyataan, CIDB Malaysia memaklumkan MKRM telah berjaya meluaskan skop akreditasi di bawah piawaian antarabangsa MS ISO/IEC 17025:2017 yang melibatkan 12 akreditasi baru.
CIDB perkenal fasiliti pengujian infrastruktur rel di Malaysia
Foto hiasan: Carian Google
“Ia merangkumi produk seperti Precast Concrete Rail Sleepers, besi dan keluli, perancah (scaffoldings), keluli telulang (reinforcement bar) dan wire mesh,” kata CIDB dalam satu kenyataan hari ini.
ISO/IEC 17025:2017 adalah standard antarabangsa yang diterbitkan oleh International Organization for Standardization (ISO) dan International Electrotechnical Commision (IEC) yang menetapkan bagaimana badan pengujian seperti CREAM boleh memastikan perkhidmatan mematuhi tahap kualiti dan kecekapan yang tinggi.
Sementara itu, selain menjadi badan pengujian, CREAM juga merupakan sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan Pensijilan dan Pemeriksaan produk.
“Dengan pengalaman hampir 10 tahun, Perkhidmatan Pemeriksaan CREAM telah menjalankan lebih daripada 500 aktiviti pemeriksaan dan persampelan gudang, kilang dan lokasi lain, baik di dalam mahupun luar negara.
“Tujuan utama pemeriksaan dan persampelan ini adalah untuk memastikan bahan-bahan tersebut mematuhi keperluan Jadual Keempat di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520),” ujar CIDB.
Perkhidmatan Pemeriksaan CREAM secara rasmi menerima akreditasi MS ISO/IEC 17020:2012 daripada Jabatan Standard Malaysia pada 12 Disember 2024.
Akreditasi ini melengkapkan CREAM sebagai sebuah organisasi yang menyediakan perkhidmatan teknikal menyeluruh kepada industri pembinaan dengan fungsi sebagai Badan Pemeriksaan, Pengujian dan Pensijilan di bawah tiga skop akreditasi, MS ISO/IEC 17020, MS ISO/IEC 17025, dan MS ISO/IEC 17065.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dengan akreditasi itu, CREAM dapat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan produk sebelum produk tersebut diuji, diperakui dan diluluskan oleh badan kawal selia seperti CIDB dan pihak berkuasa tempatan lain.
“Ini memberikan keyakinan dan kecekapan yang lebih besar kepada pelanggan dalam proses pemeriksaan mereka,” katanya semasa sesi lawatan rasmi beliau ke MKRM dan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah serta CIDB Technologies Sdn Bhd.
Turut hadir pada lawatan tersebut ialah Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal, Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah, Rozaimi An, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Technologies Sdn. Bhd., Mohd Hafiz Dasahi dan Pengurus Kanan Bahagian Pengujian CREAM, Ahmad Hazim Abdul Rahim
Beliau telah menyaksikan fasiliti terkini di ABM, termasuk bengkel Simulator Jentera Berat yang merupakan sebahagian daripada usaha mendigitalisasi latihan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pembelajaran praktikal pelatih.
Delegasi turut dibawa melawat bengkel kimpalan, sebahagian daripada inisiatif CIDB Malaysia yang dilaksanakan oleh CIDB Technologies, bertujuan memperkukuh kemahiran tenaga kerja pembinaan dalam bidang teknikal yang kritikal.
Menurut statistik sehingga 2024, bagi program melibatkan belia dan personel binaan, ABM Wilayah Tengah telah melatih seramai 65,235 peserta, manakala CIDB Technologies mencatatkan seramai 7,823 peserta.
Data ini merangkumi pencapaian dalam pelbagai trend kemahiran pembinaan seperti Crane Operator, Scaffolding, Welding, Blasting and Painting dan banyak lagi.