Pemanduan melebihi had laju ditetapkan dikenal pasti sebagai punca utama tragedi yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu.
Bas dipandu pada kelajuan 117 kilometer (km/j)
Menurut laporan Berita Harian Online, laporan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT) yang dikeluarkan hari ini mendedahkan, bas terbabit dipandu pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian, iaitu dua kali ganda daripada had kelajuan ditetapkan di laluan itu, iaitu 60km/j.
Kegagalan mematuhi had laju itu menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu kenderaan terbabas dan terbalik ke bahu kiri jalan.

Foto: Berita Harian
“Analisis trajektori, rekonstruksi pergerakan sebelum kejadian dan penilaian terhadap kelajuan kritikal selekoh mendapati kenderaan dipandu pada kelajuan yang jauh melebihi had selamat untuk laluan tersebut,” katanya.
Kenderaan yang terbalik itu kemudian bergesel dan menghentam penghadag jalan jenis W-beam, yang menembusi ruang kabin dan mengakibatkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang.
Meskipun pemandu mendakwa berlaku masalah sistem brek, siasatan masih belum dapat mengesahkan kewujudan sebarang kerosakan teknikal.
Pemeriksaan hanya meneui tanda-tanda kemungkinan berlaku pemanasan melampau pada komponen brek, namun ia berkemungkinan besar punca daripada penggunaan break tidak sesuai atau berlebihan.
Laporan turut menyatakan bahawa beberapa faktor lain turut menyumbang kepada risiko nahas serta tahap keparahan akibat yang berlaku.
“Faktor ini mencerminkan kelemahan sistemik merentas aspek reka bentuk jalan, spesifikasi kenderaan, pematuhan industri dan keberkesanan pengawasan.
“Reka bentuk fizikal jalan di lokasi kejadian tidak menyediakan perlindungan mencukupi bagi pemanduan selamat di laluan berbukit dan berselekoh tajam.
“Ketiadaan pembahagi fizikal, garisan tengah yang jelas, serta papan tanda amaran yang mencukupi mengurangkan keupayaan pemandu untuk menjangka risiko dengan lebih awal,” ujarnya.
Penghadang jalan jenis W-beam yang digunakan pula gagal memenuhi standard keselamatan semasa, dan reka bentuknya menyumbang secara langsung kepada penembusan struktur ke dalam kabin bas sekali gus meningkatkan tahap kecederaan.

Foto: Kosmo!
Bas juga tidak dilengkapi dengan sistem kawalan kelajuan seperi peranti had laju (SLD) atau GPS aktif yang menyebabkan tiada pemantauan terhadap kelajuan pemanduan dapat dilakukan.
“Kelemahan struktur atas bas dan ketiadaan sistem kekangan penumpang seperti tali pinggang keledar turut menyumbang kepada kecederaan yang lebih parah, khususnya apabila berlaku pelanggaran dengan struktur jalan,” jelasnya.
Selain itu, siasatan mendapati wujudnya pelbagai pelanggaran serius terhadap peraturan industri, termasuk amalan pengendalian tidak sah, pemajakan lesen tanpa kebenaran, dan manipulasi dokumen pengawalseliaan.
“Penemuan ini mencerminkan kelemahan struktur dalam tadbir urus industri pengangkutan pelancong, dengan tahap pematuhan rendah dan pengawasan yang longgar. Jika tidak ditangani, amalan ini berisiko berlaku secara lebih meluas,” tambahnya lagi.
Kedua-dua pemandu bas terlibat dalam kemalangan tersebut turut mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi, termasuk saman belum dijelaskan iaitu 18 saman atas nama pemandu pertama dan lebih 20 saman secara gabungan untuk pemandu kedua.
Artikel lain: Nahas UPSI: Pemandu Bas Mengaku Tak Bersalah Pandu Secara Berbahaya, Melulu
Kegagalan pengendali menjalankan saringan dan pemantauan disiplin pemandu secara berkala, seperti diwajibkan di bawah Kod Amalan Industri SPAD dan ICOP Keselamatan, turut menimbulkan persoalan besar terhadap aspek pengurusan risiko dan pematuhan dalaman.
Laporan juga menyatakan bahawa kegagalan struktur kabin untuk melindungi ruang penumpang ketika impak serta ketiadaan tali pinggang keledar turut menyumbang secara langsung kepada tahap kecederaan dan kematian yang tinggi.
“Penembusan penghadang jalan ke dalam kabin di zon impak utama, di mana majoriti mangsa berada, adalah faktor fizikal yang kritikal dalam menentukan kebolehselamatan mangsa.
“Selain itu, ketiadaan pemantauan proaktif dan kelemahan koordinasi antara agensi kawal selia membolehkan pengendali tidak patuh, terus beroperasi tanpa pengesanan awal.
“Sistem sedia ada dilihat lebih bersifat reaktif dan tidak disokong oleh teknologi pemantauan masa nyata yang menyeluruh.
“Ketidaksepadanan dalam pangkalan data dan mekanisme pengesanan antara agensi seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) turut menyumbang kepada jurang penguatkuasaan yang membolehkan kelemahan ini berlarutan,” terangnya.

Foto: Kosmo!
Kesimpulan laporan menyatakan bahawa nahas ini bukan sekadar berpunca daripada kesilapan pemanduan atau kegagalan teknikal semata-mata, tetapi turut didorong oleh kelemahan dalam struktur operasi, pemilihan pemandu yang tidak sesuai, kekurangan perlindungan keselamatan serta pelaksanaan sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang lemah.
“Penemuan mengenai rekod kesalahan trafik yang tinggi dalam kalangan pemandu serta kegagalan pengendali melaksanakan semakan berkala menguatkan bukti bahawa wujud kegagalan tadbir urus di peringkat organisasi.” tegasnya.
Laporan menyimpulkan bahawa semua faktor tersebut mencerminkan satu kegagalan sistemik yang serius, dan menuntut kepada pembaharuan menyeluruh daripada semua pihak yang terbabit dalam ekosistem pengangkutan awam negara.
Sumber: Berita Harian (Noor Atiqah Sulaiman)
