Bekas pemain nombor satu dunia, Kento Momota mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton antarabangsa memandangkan prestasinya yang makin merosot.
Portal Olympics melaporkan bahawa Momota berulang kali mempertimbangkan untuk bersara dalam sukan ini sejak mengalami kemalangan pada awal tahun 2020.
Foto: IG Kento Momota
“Saya tak nafikan, selepas kemalangan itu saya sentianya bertanya kepada diri sendiri ‘kenapa saya’?
“Satu demi satu perkara sukar yang datang . Tetapi saya tidak mahu menyalahkannya disebabkan kemalangan itu. Saya mahu cuba,” katanya.
Selain tidak menafikan kemalangan tersebut telah memberi kesan terhadap prestasinya, pemain berusia 29 tahun itu juga memaklumkan dia bakal beraksi buat kali terakhir untuk pasukan Jepun pada perlawanan akhir Piala Thomas dan Uber yang bakal berlangsung di Chengdu, China hujung April ini.
Walau bagaimanapun, Momota yang kini menduduki tempat ke-52 itu dikatakan akan tetap menyertai pertandingan domestik di Jepun.
Foto: IG Kento Momota
Dalam pada itu, Momota berkata, meskipun telah mencuba untuk kembali ke prestasi terbaiknya, namun dia tetap merasakan jurang yang besar antara mental dan fizikalnya.
“Saya cuba kembali kepada cara saya bermain melalui percubaan dan kesilapan, tetapi terdapat jurang antara perasaan saya dan badan saya.
“Itu berterusan dan saya tahu saya tidak akan dapat kembali ke tahap di mana saya bersaing dengan yang terbaik di dunia,” ujarnya.
Mengulas lanjut, atlet ini turut menyedari ketidakmampuannya untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia sekali gus menyifatkan ia sebagai satu cabaran besar untuk proses pemulihannya.
Untuk rekod, Momota telah memenangi rekod 11 gelaran dalam jelajah Persekutuan Badminton Dunia dan digelar sebagai pemain lelaki terbaik pada tahun 2019.
Sumber: Olympics