Jaguh berbasikal trek profesional negara, Datuk Azizulhasni Awang yang juga dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ akan dilantik sebagai ikon pelancongan Terengganu selepas menyertai Sukan Olimpik Paris 2024.
Menerusi laporan Harian Metro, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Datuk Razali Idris berkata, perkara itu akan dibincangkan kerajaan negeri bersama Azizulhasni, 36, sebaik pulang ke tanah air.
Foto: Berita Harian
“Kita sedang menunggu kepulangan Azizulhasni yang juga anak kelahiran Dungun untuk berbincang mengenai tawaran sebagai ikon pelancongan,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan Azizulhasni sebagai ikon pelancongan itu diyakini mampu menarik kedatangan pelancong dari luar negara terutama dalam bidang pelancongan sukan.
Foto: Harian Metro
“Perlantikan Azizulhasni sebagai ikon pelancongan negeri dijangka mampu membantu kerajaan untuk menarik kedatangan pelancong yang kini melebihi 5.2 juta iaitu melebihi sasaran ditetapkan iaitu seramai 4.5 juta,” ujarnya.
Razali yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar juga pada dasarnya bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Kita sedang menunggu masa sesuai untuk berbincang dengan Azizulhasni dan besar harapan kita supaya dia bersetuju dengan pelantikan itu,” jelasnya.
Foto: Facebook Azizulhasni Awang
Azizulhasni dijangka tiba di tanah air dari Doha bersama jaguh berbasikal trek negara yang lain, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sekitar jam 3.25 petang hari ini.