Pempengaruh dan model Muslimah terkenal, Ayana Jihye Moon berkongsi berita menggembirakan apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian di universiti berprestij dunia, University of Oxford.
Ayana Moon terima tawaran belajar
Perkara tersebut dikongsikan dalam satu hantaran di Instagram apabila personaliti media berasal dari Korea Selatan itu memuat naik tangkap layar e-mel rasmi daripada pihak universiti berkenaan.
Difahamkan, Ayana ditawarkan tempat bagi mengikuti program Sarjana Dasar Awam (Master of Public Policy).
“Alhamdulillah, saya berjaya masuk ke Oxford untuk ijazah kedua saya.
“Saya sudah kongsikan kegembiraan ini dengan keluarga serta rakan terdekat, dan kini saya mahu maklumkan kepada anda semua,” kongsinya.
Misi lahirkan lebih ramai pemimpin Muslim
Ayana yang juga merupakan seorang mualaf dan kini menetap di Indonesia menyatakan dirinya membuat keputusan untuk menyambung pengajian di universiti tersebut selepas mempertimbangkan pelbagai perkara.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas melalui tempoh yang panjang memikirkan langkah seterusnya dalam kehidupan dan kerjaya.
“Sudah lama sangat saya ‘berlari’ tanpa henti dan saya sudah pun fikir masak-masak tentang macam-macam pilihan yang ada.
“Tetapi selepas buat pertimbangan panjang, saya buat keputusan untuk mulakan episod baharu kehidupan di Oxford!
“Demi kejar lebih banyak ‘A’ dan melahirkan lebih ramai lagi pemimpin Muslim. Insya-ALLAH, aamiin,” titip Ayana.
Artikel lain: Pelajar Tahfiz UPSI Jadi Imam Sempena Ramadan Di Oxford
Model Muslimah berusia 31 tahun itu turut menyifatkan peluang melanjutkan pelajaran di universiti ternama dunia tersebut sebagai satu lembaran baharu dalam kehidupannya untuk terus menimba ilmu dan memperkembangkan diri.
Sumber: Instagram xolovelyayana







































