Persatuan India Muslim Perak (PRIM) mendedahkan terdapat segelintir penerima bantuan dalam kalangan asnaf bertindak menjual barangan sumbangan yang sepatutnya dimanfaatkan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusinya, Mohamed Arib Aliah berkata, pihaknya menerima maklumat tahun lalu terdapat dua keluarga yang menerima bantuan makanan menjual barangan tersebut kepada warga asing sejurus selepas sumbangan diserahkan.
Asnaf Jual Barang Sumbangan Kepada Warga Asing
Menurutnya, tindakan itu amat mendukacitakan kerana bantuan berkenaan disalurkan hasil sumbangan orang ramai khusus untuk membantu golongan memerlukan membuat persiapan Aidilfitri.
“Barang yang kita beri itu untuk kegunaan keluarga mereka sempena hari raya, bukan untuk dijual. Kita susah payah kumpulkan sumbangan untuk asnaf.
“Apabila dapat tahu perkara itu berlaku, kita sangat sedih. Jadi tahun ini kita tidak memilih semula penerima terbabit,”katanya hari ini.
Mohamed Arib berkata, bantuan berupa barangan runcit bernilai kira-kira RM200 itu diagihkan kepada 130 keluarga terdiri daripada golongan B40, mualaf, orang kurang upaya (OKU) serta keluarga miskin sekitar Ipoh.
Menurutnya, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan PRIM sejak 2008 yang pada awalnya hanya melibatkan 10 hingga 20 keluarga sebelum meningkat kepada 130 penerima pada tahun ini.
Beliau berkata, jumlah penerima dijangka terus meningkat pada masa akan datang sekiranya persatuan memperoleh lebih banyak sumbangan.
Artikel lain: Rezeki Ramadan, Abang Mr Bean Dapat Tajaan Umrah – “Saya Tak Pernah Jangka”
Sementara itu, Azizul Kama berkata, program berkenaan merupakan sesi kedua bantuan yang dilaksanakan PRIM pada tahun ini dengan kerjasama DPMM Perak dan Masjid Muhammadiah.
Menurutnya, sesi pertama diadakan minggu lalu dengan barangan sumbangan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), manakala bantuan pada Ahad disediakan sepenuhnya oleh PRIM.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.









































