Tindakan penguatkuasaan penyitaan harta bagi mendapatkan baki tertunggak mencecah RM66,061.85 telah dibuat di rumah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang Jaya, pada Rabu.
Writ penyitaan dan penjualan harta alih itu diperoleh oleh Ahli Parlimen Seputeh, Datuk Teresa Kok, selaku pemiutang penghakiman terhadap Jamal yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman.
Menurut kenyataan media peguam, Datuk Sankara Nair, bayaran tersebut membabitkan kos guaman yang belum dijelaskan oleh Jamal berhubung kes saman fitnah yang mendakwa anak guamnya, Teresa, telah menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
“Penguatkuasaan dibuat bagi mendapatkan semula jumlah penghakiman tertunggak itu, kerana Jamal gagal mematuhi sepenuhnya penghakiman akhir yang diperoleh Teresa dalam saman berkenaan selaku plaintif,” katanya.
Aset Jamal Yunos Disita
Mahkamah sebelum ini menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada plaintif selepas berjaya membuktikan dakwaan fitnah tersebut.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dilakukan oleh bailif Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang diberi kuasa untuk memasuki premis secara paksa menggunakan kekerasan yang munasabah sekiranya akses ke premis dinafikan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
Sankara menambah bahawa pelaksanaan itu dipantau seorang lagi peguam Teresa, Maniggandan Gopalan, bagi memastikan tindakan dijalankan mengikut perintah mahkamah dan tatacara undang-undang yang betul.
Tegas beliau, tindakan tersebut merupakan pelaksanaan sah terhadap penghakiman mahkamah yang masih berkuat kuasa.
Artikel lain: Jamal Yunos Gesa Lembaga Disiplin UMNO Gantung Keahlian KJ
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Teresa.
Jamal dikatakan telah menjelaskan bayaran ganti rugi tersebut.
Kes ini bermula apabila Teresa memfailkan saman pada 6 April 2017, mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah mengenai beliau berhubung dana Yawas semasa sidang media pada 8 Mac tahun sama.
Kenyataan itu disebarkan melalui media cetak, elektronik, dan laman Facebook Jamal, memberi gambaran bahawa Teresa menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi dan tidak beretika.
Sumber: Sinar Harian (Noor Azlida Alimin)










































