Bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Henry Golding bakal menimang cahaya mata kedua dan isterinya, Liv Lo dijangka bersalin pada 1 September ini.
Khabar gembira itu diumumkan oleh Henry menerusi hantaran gambar terbaharu bersama isteri dan anak sulungnya, Lyla Golding yang kini berusia dua tahun.
Dalam gambar tersebut, Liv turut menunjukkan perutnya selain berkongsi jangkaan akan bersalin menerusi hantaran di laman Instagram miliknya.
“Oh hey! Bayi baharu dalam perjalanan, dijangka bersalin 1 September,”tulisnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet baik peminat mahupun rakan selebriti meninggalkan ucapan tahniah buat pasangan tersebut.
Untuk rekod, pelakon keturunan Iban-Inggeris itu mendirikan rumah tangga pada 2016 dan dikurniakan cahaya mata pertama, Lyla pada Mac 2021.
Sekadar info, Henry yang kini berpangkalan di Hollywood menempa nama selepas filem lakonannya berjudul Crazy Rich Asians pada tahun 2018 mendapat sambutan hangat di kalangan penonton di seluruh dunia.
Henry juga membintangi watak utama dalam filem seperti Snake Eyes, Last Christmas, A Simple Favor, The Gentleman dan Persuasion.
Sumber: Instagram @henrygolding & @livlogolding