Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh usaha membanteras ketirisan dan meningkatkan ketelusan dalam pengurusan institusi pertahanan negara menerusi pelbagai inisiatif penambahbaikan tadbir urus serta pembudayaan integriti.
Komitmen itu diterjemahkan melalui pelancaran Sistem Aduan Integriti Kementerian Pertahanan yang bertujuan menyediakan saluran rasmi bagi menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan salah laku, ketirisan serta kelemahan integriti dalam organisasi.
Sistem berkenaan dilancarkan sempena Sambutan Hari Integriti MINDEF 2026 yang disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Auditorium Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Menurut Khaled, usaha memperkukuh integriti merupakan keutamaan kementerian memandangkan MINDEF dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memikul tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan negara.
Beliau berkata, pengurusan dana awam dan aset strategik yang melibatkan peruntukan berbilion ringgit menuntut tahap akauntabiliti tinggi bagi memastikan setiap sumber dimanfaatkan secara optimum tanpa berlaku sebarang ketirisan.
“MINDEF dan ATM juga dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dana awam dan aset strategik yang melibatkan peruntukan berbilion-bilion ringgit.
“Maka, setiap peruntukan mesti dilakukan dengan betul, setiap prosedur dipatuhi, setiap maklumat dilindungi dan setiap operasi pertahanan dibuat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Perkukuh Tadbir Urus, Tutup Ruang Ketirisan
Dalam pada itu, Khaled menjelaskan bahawa MINDEF telah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan bagi memastikan sistem pengurusan kementerian lebih cekap, telus dan berkesan.
Antaranya termasuk penambahbaikan tadbir urus perolehan yang melibatkan keanggotaan Lembaga Perolehan, jawatankuasa berkaitan serta mekanisme penilaian berdasarkan ketetapan Kementerian Kewangan.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan dalaman organisasi, selain mengurangkan risiko penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan peruntukan pertahanan.
Pada masa sama, pelancaran Sistem Aduan Integriti MINDEF turut mencerminkan pendekatan proaktif kementerian dalam memperkemas pengurusan aduan agar lebih sistematik dan berkesan.
Khaled turut mengingatkan bahawa sebarang ketirisan bukan sahaja boleh menjejaskan keberkesanan operasi pertahanan, malah berpotensi melemahkan keupayaan organisasi dalam jangka panjang.
“Ketirisan dan penyalahgunaan kuasa bukan sahaja menjejaskan keupayaan operasi secara serta-merta.
“Dalam jangka panjang, ia melemahkan organisasi, mengurangkan keberkesanan sumber dan menjejaskan kesiagaan pertahanan.
“Lebih penting, ketirisan akan menghilangkan kepercayaan dan rasa hormat pada kita semua,” katanya lagi.
Kerjasama SPRM Diperkukuh Bagi Membendung Salah Laku
Bagi memastikan agenda integriti dilaksanakan secara menyeluruh, MINDEF turut memperkukuh kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi pelbagai program pendidikan, advokasi dan literasi integriti.
Di peringkat ATM, kerjasama berkenaan diperkasakan melalui pemeteraian Nota Kerjasama antara SPRM dan ATM pada 19 Oktober 2026.
Menerusi kerjasama itu, mekanisme risikan, siasatan dan perkongsian maklumat antara kedua-dua pihak dapat dipertingkatkan bagi membantu usaha mencegah ketirisan serta memperkukuh pemantauan integriti.
Selain itu, seramai 34 Pegawai Perhubungan Integriti (PPI) turut dilantik daripada pelbagai bahagian dan jabatan MINDEF bagi memastikan pelaksanaan agenda integriti dapat digerakkan sehingga ke peringkat operasi.
Surat pelantikan berkenaan disampaikan secara simbolik oleh Khaled kepada Shazeela Ahmad dari Jabatan Hal Ehwal Veteran yang mewakili kesemua pegawai terbabit.
Menurut Shazeela, PPI berperanan sebagai penggerak dan pemangkin kepada pelaksanaan aktiviti integriti di bahagian masing-masing, sekali gus menggalakkan penglibatan lebih menyeluruh dalam kalangan warga kementerian.
Beliau berharap pelantikan itu dapat membantu meningkatkan pembudayaan integriti serta memastikan setiap program yang dirancang mendapat sokongan seluruh warga MINDEF.
Sementara itu, Khaled menekankan bahawa kepercayaan rakyat merupakan antara kekuatan terpenting sesebuah institusi pertahanan, justeru sebarang isu integriti tidak boleh dipandang ringan.
Menurutnya, kegagalan memelihara integriti boleh mencalarkan reputasi keseluruhan kementerian dan ATM, sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi yang diamanahkan menjaga keselamatan negara.
“Sekali imej kita tercalar, adalah sangat sukar untuk kita mengembalikan keyakinan kerajaan dan rakyat kepada kita.
“Jadi, kita mesti berusaha memastikan MINDEF dan ATM bebas daripada sebarang bentuk isu integriti,” ujar beliau.
Sambutan Hari Integriti MINDEF 2026 yang bertemakan ‘Integriti Kita, Nilai Kita’ turut menyaksikan sesi melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diketuai Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Lokman Hakim Ali.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zakkuan Talib.
Khaled berharap segala inisiatif yang dilaksanakan bukan sekadar memperkukuh mekanisme penguatkuasaan, tetapi turut membentuk budaya kerja yang mengutamakan amanah, ketelusan dan tanggungjawab dalam kalangan warga MINDEF serta ATM.













































