Connect with us

Hi, what are you looking for?

Nasional

MINDEF Perkasa Peranan BAKAT, Tingkat Kemahiran Keluarga Anggota

Di sebalik uniform yang disarung demi mempertahankan keselamatan negara, warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka di kem seluruh negara turut berdepan realiti cabaran semasa yang sama seperti rakyat lain, termasuk peningkatan kos sara hidup, tekanan ekonomi serta ketidaktentuan harga dan bekalan makanan.

Namun dalam mendepani cabaran semasa, golongan isteri anggota tentera kini memainkan peranan yang semakin penting bukan sahaja sebagai tunjang keluarga di rumah, malah turut menjadi penyokong utama dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi keluarga serta memperkukuhkan ketahanan komuniti warga ATM.

Menerusi Program Ekonomi MADANI ATM yang diperkenalkan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) kini mula terlibat secara aktif dalam pelbagai projek ekonomi komuniti dan agromakanan moden termasuk madu kelulut, cendawan tiram, cendawan urban farming, hidroponik sifar karbon pintar, fertigasi sayuran, halia Bentong serta Akuaponik dan produk retort.

Pelaksanaan program ini jelas mencungkil peranan BAKAT menerusi kerjasama strategik bersama universiti awam seperti Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam membantu memastikan setiap projek dilaksanakan dengan bimbingan teknikal dan pemindahan ilmu supaya mampu berkembang secara mampan

Advertisement. Scroll to continue reading.

Malah, Boustead Plantations Berhad turut memainkan peranan penting sebagai rakan industri dengan menyediakan sokongan pasaran serta pengurusan rantaian nilai bagi memperkukuh kelangsungan projek-projek berkenaan.

Program itu bukan sahaja membuka peluang menjana pendapatan tambahan buat keluarga tentera, malah menjadi sebahagian usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara ketika dunia berdepan gangguan rantaian bekalan global.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan mahu memastikan manfaat agenda Ekonomi MADANI yang diperkenalkan di peringkat nasional turut dapat dirasai komuniti pertahanan di kem-kem tentera seluruh negara.

“Kerajaan memperkenalkan kerangka Ekonomi MADANI, tujuannya tidak lain tidak bukan ialah untuk memastikan supaya ekonomi negara ini dapat distruktur semula dan manfaatnya serta kekayaannya dapat diagihkan secara adil kepada semua golongan terutamanya golongan yang berpendapatan rendah,” katanya.

Menurut beliau, selama ini pelbagai program ekonomi dilaksanakan untuk masyarakat luar, namun warga ATM khususnya suri rumah anggota tentera turut memerlukan ruang dan peluang sama bagi memperkukuh kedudukan ekonomi keluarga.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Kita tak mahu supaya anggota-anggota tentera terutamanya suri rumah tangga melalui program ini hanya menjadi pekerja di luar sana apabila pelbagai program ekonomi MADANI dilaksanakan tetapi kita macam terpagar dan tidak dapat mengambil manfaat daripada program-program tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ekonomi MADANI ATM di Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Kem Batu 3, Kluang, Johor, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini pendekatan kesejahteraan warga tentera lebih banyak tertumpu kepada aspek kebajikan, pendidikan dan kesihatan, namun MINDEF kini mengambil langkah memperluaskan fokus kepada pembangunan sosioekonomi keluarga anggota.

Tambah beliau lagi, usaha itu penting supaya anggota tentera dapat menjalankan tugas menjaga keselamatan negara tanpa terlalu dibebani tekanan berkaitan kesejahteraan keluarga di rumah.

“Kita mahu mereka dalam melaksanakan tugas tidak terganggu dengan isu-isu kesejahteraan keluarga mereka.
“Bila keadaan hidup mereka sejahtera, maka tidak terganggu suami-suami mereka ataupun anggota-anggota yang bertugas untuk menjamin keselamatan negara,”ujar beliau.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2025, Program Ekonomi MADANI ATM telah dilaksanakan di 60 kem ATM seluruh negara melibatkan 96 projek ekonomi komuniti dengan penyertaan seramai 1,265 ahli BAKAT serta kerjasama 20 universiti awam.

Bagi tahun ini, kerajaan meneruskan komitmen tersebut dengan peruntukan hampir RM10 juta selain menyasarkan peningkatan penyertaan kepada 2,235 ahli BAKAT bersama tambahan 60 projek baharu.

“Kalau dulu kita telah melibatkan sebanyak 60 buah kem di seluruh negara yang meliputi seramai 1,265 warga BAKAT, pada tahun ini kita akan meningkatkan penyertaan kepada 2,235 orang warga BAKAT dengan 60 projek tambahan melibatkan kos hampir RM9.5 juta,” katanya.

Antara inisiatif yang giat dilaksanakan ialah projek ternakan madu kelulut yang kini menjadi antara program paling meluas dijalankan di puluhan kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi keluarga warga tentera.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan penyerahan sumbangan bernilai RM1.056 juta tanggungan separuh kos pelaksanaan melibatkan pemasangan 1,737 sarang lebah kelulut di 35 kem ATM.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal (Bersara) kepada Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Datin Hajah Siti Juana Md Ibrahim.

Turut berlangsung penyerahan cek simbolik pembelian kelompok madu kelulut keluaran BAKAT bernilai RM10,150 kepada wakil BAKAT Pangkalan Udara Sendayan, Puan Nurul Husna Abdul Razak yang berjaya mencatat kutipan hasil tertinggi daripada 17 kem.

Menurut Mohamed Khaled, penglibatan Boustead Plantations Berhad sebagai rakan strategik industri memberi kelebihan besar kepada projek berkenaan kerana sebahagian besar hasil keluaran ahli BAKAT akan dibeli dan dipasarkan secara lebih tersusun.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan projek agromakanan moden dalam komuniti ATM.

“Boustead Plantations akan mengambil 70 peratus daripada madu yang dikeluarkan itu.
“Ini membolehkan Boustead mengeluarkan satu jenama bagi madu kelulut yang datang daripada semua kem.
“Kalau kita cakap mengenai madu kelulut ataupun halia Bentong, oleh kerana Boustead yang akan mengambilnya, maka ini membolehkan produk itu dibangunkan secara berstruktur dan tetap.
“Dengan demikian, ia boleh membantu sedikit sebanyak soal kita nak jayakan keterjaminan makanan,” katanya lagi.

Farah Nadia
Ditulis oleh

Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan pintu pagar utama sekolahnya ketika sedang menunggu ibunya pulang, dalam kejadian...

Sosial

Seorang suami yang kehilangan isteri pada tahun 2024 berkongsi rutin hariannya yang tetap setia menziarahi pusara arwah, malah mengakui masih sukar menerima pemergian insan...

Spotlight

Pilihan Raya Negeri di Tamil Nadu dan Bengal Barat mencetuskan kejutan besar apabila keputusan diumumkan, sekali gus menggoncang landskap politik India yang sekian lama...

Sosial

Peguam, Kamal Hisham Ja’afar tampil menjelaskan kedudukan sebenar penglibatannya dalam kes Rosmaini Raof yang kembali menjadi perhatian umum, selain menegaskan bahawa keputusan mahkamah adalah...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd