Syarikat telekomunikasi Maxis tampil memohon maaf susulan kebocoran maklumat akaun usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming yang tular di media sosial.
Insiden terpencil babit tindakan tanpa kebenaran
Dalam satu kenyataan, Maxis mengesahkan insiden itu berpunca daripada akses tanpa kebenaran dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.
Menurut Maxis, pihaknya telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden tersebut dan sedang mengambil tindakan segera termasuk tindakan undang-undang.
Hasil siasatan awal juga mendapati kejadian itu merupakan kes terpencil dan tiada petunjuk menunjukkan pelanggan lain turut terjejas.
“Semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau sepenuhnya.
Hasil siasatan kami menunjukkan bahawa ini adalah insiden terpencil yang membabitkan tindakan tanpa kebenaran. Tiada sebarang petunjuk bahawa insiden ini melibatkan pelanggan lain secara lebih meluas.
“Kami akan menghubungi pelanggan berkenaan mengenai perkara ini dan kekal komited terhadap privasi data serta perlindungan data peribadi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas Khairul, 34, menuntut penjelasan daripada Maxis berhubung dakwaan maklumat bil telefon peribadinya didedahkan kepada pihak lain.
Menerusi hantaran di Threads, beliau mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan akaun serta pelan telefon miliknya boleh diperoleh sebelum dikongsikan secara terbuka di media sosial.
“Mohon penjelasan daripada Maxis bagaimana bil telefon peribadi saya boleh bocor,” tulisnya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik butiran pelan telefon yang digunakan Khairul selain mendakwa usahawan itu mempunyai tunggakan bil berjumlah RM498.
Walau bagaimanapun, Khairul menjelaskan beliau sememangnya membuat bayaran lebih awal untuk beberapa bulan akan datang dan tidak menyedari baki kredit tersebut telah berkurangan.
Sumber: Facebook Maxis







































