Pemain kebangsaan, Faisal Halim harap agar pelaku yang menyerangnya menggunakan asid ditangkap secepat mungkin dan didakwa di mahkamah.
Menerusi satu sidang media, Faisal yang juga merupakan pemain bola sepak Selangor FC turut menyuarakan hasrat untuk bermain lagi dengan pasukannya dan juga mewakili pasukan kebangsaan.
Foto: Bernama
“Harapan saya adalah untuk kembali bermain dan berbakti buat kelab (Selangor FC) ini dan negara suatu hari nanti. Saya juga berharap si pelaku akan dapat ditangkap secepat mungkin dan didakwa di mahkamah,” katanya.
Faisal berkata demikian dalam sidang media pertama pada Khamis selepas insiden pemain itu disimbah asid di sebuah pusat beli belah pada Mei lalu.
Dalam pada itu, Faisal juga berkata dia sanggup kehilangan kerjayanya sebagai pemain bola sepak bagi memastikan keselamatan diri dan keluarganya.
“Pada minggu kedua kejadian, saya cakap pada Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar bahawa saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu untuk berhenti bermain bola asalkan saya dan keluarga selamat,” ujarnya.
Foto: Astro Arena
Bagaimanapun, Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar memberikan jaminan kepada Faisal bahawa pihaknya akan memastikan keselamatan pemain itu dan keluarganya.
“Tapi Datuk Shahril janjikan bahawa keselamatan saya dan keluarga saya akan terjamin. Sebab itulah saya mula bersemangat untuk meneruskan kerjaya saya bermain bola,” luahnya.
Artikel lain: Kes Simbah Asid Faisal Halim: Cap Jari Suspek Tiada Dalam Rekod JPN
Pada masa yang sama, Faisal turut berkata dia sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan keluarganya tidak perlu hidup dalam ketakutan.
Faisal Halim harap pelaku ditangkap dan didakwa di mahkamah
Foto: Astro Arena
“Sebelum ini, saya cakap pada isteri dan keluarga yang saya tak kisah dan sanggup hilang gaji berpuluh ribu. Saya nak balik kampung, hidup tenang.
“Saya boleh bekerja walaupun sehari dibayar RM50 atau RM100 asalkan keluarga saya selamat dan tak perlu hidup dalam ketakutan.
“Apa yang berlaku terhadap saya ni adalah sesuatu yang luar jangkaan dan saya tak boleh terima. Keluarga saya hidup dalam ketakutan, tapi doa orang ramai terus membuatkan saya bersemangat untuk teruskan karier saya,” katanya.
Sementara itu, Faisal juga berkata sukar untuk dia melihat pasukan Selangor dan Malaysia bermain sementara dia pula terlantar di rumah.
Foto: Astro Arena
Namun begitu, Faisal tetap bersabar dan mahu memberikan fokusnya kepada proses pemulihan agar dia dapat kembali beraksi dalam bola sepak.
“Bukan mudah terlantar di rumah hanya melihat pasukan Selangor dan Malaysia bermain bola, semesetinya kaki memang menggigil dan hati meronta-ronta. Sekarang saya hanya fokus terhadap proses pemulihan,” ujarnya.
Faisal turut memohon kepada orang ramai untuk tidak membuat andaian atau spekulasi terhadap dirinya disamping meminta agar ruang dan privasi diberikan kepada keluarganya.
Foto: Astro Arena
Terdahulu Faisal Halim dilaporkan telah disimbah asid dalam satu kejadian di Kompleks membeli-belah di Damansara pada 5 Mei lalu.
Difahamkan, Faisal telah mengalami luka melecur di tahap empat dan sempat dilaporkan kritikal sewaktu menerima rawatan.
Situasi ini menyebabkan beliau perlu menjalani empat pembedahan di sebuah hospital di Lembah Klang bagi membantu proses pemulihannya sebelum dibenarkan pulang pada 25 Mei lalu.
Sumber: Bernama