Polis menahan lima lelaki tempatan berusia dalam lingkungan belasan tahun hingga 20-an bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan dua remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun yang berjaya diselamatkan dalam satu operasi di Machang pada Sabtu.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Machang Superintenden Azuhar Md Nor ketika dihubungi semalam berkata, susulan penahanan itu, polis memperoleh perintah reman terhadap semua suspek yang ditahan di Machang petang Sabtu di Mahkamah Majistret Machang.

Foto arkib: Bernama
Beliau berkata, dua suspek utama direman selama lima hari manakala tiga lagi suspek direman dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali melahirkan rasa syukur apabila kedua-dua remaja berkenaan berjaya diselamatkan polis selepas dilaporkan hilang sejak Khamis lepas.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut.

Foto: Sinar Harian
Terdahulu, dua remaja yang juga pasangan sepupu dilaporkan hilang sejak Khamis selepas keluar ke bandar Kota Bharu tanpa ditemani ahli keluarga buat kali pertama.
Sumber: Bernama







































