Lima beradik hilang tempat bergantung selepas ibu bapa mereka maut selepas motosikal cuba elak seekor babi hutan melintas di jalan bersebelahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, semalam.
Menurut laporan Astro Awani, kejadian tersebut menyebabkan Mohd Norzianal Mohd Ainol, 46, bersama isterinya, Suhana Othman, 43 terbabas dan merempuh tiang elektrik sehingga mengakibatkan kecederaan parah di kepala dan tubuh.
Ibu bapa maut elak babi melintas
Artikel lain: Majikan Maut Ditikam Pekerja, Gaduh Sebab Masalah Kewangan
Anggota polis telah datang ke rumah sewa pasangan terbabit di Taman Pahlawan di belakang IPD Kuala Muda pada pukul 1 pagi untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada Fatin Hanani, 23, yang merupakan anak sulung kepada Norzianal dan Suhana.
Apa yang lebih menyayat hati, pada awalnya Fatin Hanani tidak percaya apa yang berlaku namun, dia memeluk erat empat adiknya sambil menangis selepas polis berkenaan menunjukkan kad pengenalan kedua orang tuanya.
“Saya dan adik-adik hampir rebah melihat keadaan mereka tambahan lagi selepas dimaklumkan yang ibu bapa kami telah meninggal dunia,” katanya yang juga mahasiswa Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dan sedang menghabiskan cuti semester.
Kehilangan dua insan tersayang itu membuatkan Fatin Hanani bersama empat adiknya, Aida Batrisya,17, Alya Batrisya, 16, Adlin Irfan, 15, dan Adib Iman, 6, hilang arah kerana hilang tempat bergantung.
Malah, anak kedua pasangan terbabit iaitu Aida Batrisya menjelaskan bapanya yang bekerja sebagai Pengurus Jualan Cuckoo dalam perjalanan untuk membeli makanan dan ditemani ibunya yang merupakan suri rumah.
“Sebelum itu bapa mengadu lapar dan mengajak ibu menemaninya untuk ke kedai. Tak sangka kami akan menjadi yatim piatu sekelip mata,” katanya yang masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar.
Dalam pada itu, Aida Batrisya mengatakan berkemungkinan besar mereka akan tinggal di rumah yang dibeli ibu dan sekarang didiami nenek di Taman Kempas.
Mayat Norzianal dan Suhana telah selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu, Merbok, di sini, pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan menjelaskan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Astro Awani (Adie Sufian Zulkefli)