Remaja 18 tahun mencuri perhatian apabila berjaya menunaikan ibadah haji seorang diri ke Tanah Suci pada musim haji tahun ini, sekali gus tersenarai sebagai antara jemaah termuda 2026.
Bekas pelajar Maktab Tentera Diraja, Eusoff Azman, membuktikan bahawa perancangan awal dan didikan keluarga mampu membuka jalan untuk menunaikan rukun Islam kelima pada usia muda.
Menurut Eusoff, peluang ke Tanah Suci itu hadir hasil usaha ibunya yang telah mendaftarkannya di Tabung Haji sejak beliau masih bayi, selain tabungan yang dibuat secara berperingkat sejak kecil.
Katanya, simpanan tersebut turut melibatkan duit raya dan wang saku yang dikumpul sejak kecil, dengan sokongan berterusan daripada ibu bapanya.
“Mak saya daftarkan saya seawal tahun 2008, sejak saya masih bayi. Alhamdulillah tahun ini nama saya dipilih dan saya datang seorang diri.
“Saya simpan sedikit demi sedikit, tapi mak banyak bantu. Ini semua hasil usaha mak dari awal lagi,” katanya ketika ditemui wartawan Astro Awani baru-baru ini.
Mengulas pengalaman berada di Tanah Suci tanpa keluarga, Eusoff berkata keadaan itu tidak terlalu membebankannya kerana pernah melalui pengalaman tinggal di asrama sebelum ini.
“Saya tidak terlalu gementar, cuma ini pengalaman baharu sebab pertama kali berjauhan dengan keluarga di luar negara,” katanya.
Eusoff yang merupakan anak keempat daripada enam beradik berkata, hubungan baik dengan jemaah lain yang jauh lebih berusia banyak membantu dirinya sepanjang berada di Mekah.
“Walaupun umur berbeza sekitar 50 tahun, kami boleh berbual dan saya ambil peluang belajar daripada pengalaman mereka.
“Saya anggap mereka seperti bapa sendiri,” katanya.
Artikel lain: Bukan Terlupa Beri Ayam Makan! Jemaah Haji Indonesia Minta Turun Rupanya Takut Naik Pesawat
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur atas pengorbanan ibu bapanya yang menjadi tulang belakang utama dalam merealisasikan impian menunaikan haji pada usia muda.
“Terima kasih mak dan ayah kerana bantu saya sampai ke sini. Saya harap dapat balas jasa mereka suatu hari nanti,” ujarnya.
Eusoff turut berharap lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak-anak dengan Tabung Haji sejak awal bagi memberi peluang lebih cepat menunaikan ibadah haji apabila tiba giliran.
Berdiam tidak semestinya salah. Lantang tidak semestinya benar. Jaga hati, jangan sampai terguris perasaan.








































