Pendaki wanita yang dilaporkan hilang selama 14 hari ketika mendaki Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin akhirnya dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah.
Keluar wad hari ini
Memetik laporan daripada Bernama, Jaslinda, 49, dilihat meninggalkan wad bersama suaminya, Haszman Othman kira-kira jam 1.50 tengah hari tadi dengan ditemani petugas kesihatan.

Foto: Bernama
Guna tongkat alami sedikit kecederaan di kaki
Sebelum beredar, wanita itu yang masih menggunakan tongkat dan mempunyai balutan pada kaki kirinya kelihatan sebak ketika mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakan keselamatannya sepanjang tempoh kehilangannya.
“Alhamdulillah saya sihat. Terima kasih banyak kepada semua rakyat Malaysia kerana doakan keselamatan saya, sangat menghargainya.
“Statement-statement (kenyataan-kenyataan) itu kemudianlah saya akan bagi tahu. Yang benda-benda semua itu, yang didengar itu semuanya fitnah… nanti saya bagi kenyataan saya.
“Terima kasih semua, minta maaf menyusahkan SAR semua. Saya tiada niat nak susahkan sesiapa. Terima kasih semua,” kata Jaslinda.

Foto: Bernama
Minta ruang sebelum beri penjelasan
Dalam masa sama, Jaslinda turut meminta ruang sebelum tampil memberikan penjelasan berhubung pelbagai dakwaan dan tohmahan yang timbul susulan kehilangannya.
Terdahulu, Jaslinda ditemukan pada Sabtu lalu oleh dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh yang sedang memancing di Sungai Woh.
Wanita itu ditemui pada hari ke-14 kehilangannya ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) berskala kecil memasuki hari ketiga, selepas operasi SAR berskala besar dijalankan dari 25 Mei hingga 3 Jun lalu.
Selepas berjaya diselamatkan, Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima rawatan lanjut.
Sumber: Bernama







































