Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

‘Jangan Burukkan ATM, Anak Saya Tidak Dibuli, Fizikal Dia Elok’ – Ibu Indiran

“Ini bukan kes buli. Jangan burukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tegas ibu kepada anggota tentera, Truper K Indiran, 22, susulan dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan kematian anaknya dengan unsur buli atau penderaan.

Menurut laporan Harian Metro, S Usha, 52, memaklumkan keputusan bedah siasat tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh anaknya, sekali gus menolak andaian bahawa arwah dipukul atau didera.

Usha berkata, pada peringkat awal dia sempat berasa terkilan kerana tidak dimaklumkan lebih awal tentang keadaan anaknya yang ditemui tidak sedarkan diri ketika menghadiri kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan pada 18 Februari lalu.

“Saya pun ingat kes buli. Tapi bila bedah siasat memang tiada. Mula-mula memang saya marah. Sebab ATM tak hubungi, beritahu saya awal. Bila saya dapat tahu keadaannya sudah kritikal di hospital naluri seorang ibu ketika itu terlintas pelbagai andaian.
“Saya dapat info viral sana sini. Jangan cemarkan (nama) ATM sebab benda memang tak betul. Indiran tidak dibuli, dipukul atau dicederakan. Tubuh anak saya sempurna, fizikal dia elok,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nibong di Georgetown, hari ini.

Usha menyifatkan kehilangan anak sulung  daripada empat beradik itu sebagai sesuatu yang amat mengejutkan dan sukar untuk diterima, apatah lagi Indiran dikenali sebagai seorang anggota yang cergas serta tidak pernah menunjukkan sebarang tanda mempunyai masalah kesihatan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Katanya, arwah seorang anak yang bertanggungjawab, periang dan sangat rapat dengan keluarga. Malah, setiap pagi sebelum kejadian, Indiran tidak pernah lupa menghubunginya untuk berkongsi perkembangan diri sebelum memulakan rutin harian.

Menurutnya lagi, semangat Indiran dalam menjalani latihan ketenteraan begitu tinggi kerana mahu menuruti jejak langkah bapanya, mendiang Mejar C Kayamboo, juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft B200T di Pangkalan Udara Butterworth pada 2016.

“Bila dia rasa macam susah sikit, dia mengadu, saya kata pada dia tak apa jom balik (tapi) dia tak mahu. Masa latihan enam bulan (pada 2024) dia pernah ditemubual dan kata mahu jadi macam mendiang (bapa), nak belajar lagi tinggi dan ambil kursus-kursus tertentu untuk jadi juruterbang.
“Mendiang dulu pun kena latihan lasak. ATM lagi lasak. Itu memang biasa. Dia ada beritahu, latihan susah, tapi mana-mana unit beruniform memang lasak. Tapi dia akhirnya dapat jadi tentera. Sepatutnya bulan Mac ini dia balik bercuti,” ujarnya.

Sebelum itu, jenazah mendiang Indiran selamat tiba di rumah keluarganya kira-kira jam 1.45 pagi tadi.

Mendiang dijadual diberikan istiadat penghormatan penuh ketenteraan sekitar jam 12 tengah hari sebelum dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan Hindu Batu Lanchang pada kira-kira jam 3 petang ini.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sumber: Harian Metro (Siti Aminah Mohd Yusof)

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Seorang suami meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa isterinya, yang dikenali sebagai Nurul Ain Syakinah Abdullah terlibat dalam hubungan curang bersama bekas teman lelakinya, dikenali...

Spotlight

Pempengaruh media sosial, Ammar Nazhan selamat bertunang dengan kekasih hatinya, Elya Maisara dalam sebuah majlis pada Sabtu di Johor Bahru, Johor. Sedondon tema matcha...

Dunia

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, melancarkan kempen ‘Thai Help Thai’ bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menurunkan harga lebih 3,000 barangan keperluan harian...

Sosial

Seorang Profesor dan Pakar Perunding Kanan Ortopedik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yazid Bajuri, mencipta sejarah apabila menghasilkan kaki palsu mesra Muslim...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd