Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Impak Sosioekonomi Pelaksanaan Kenaikan Cukai Perkhidmatan Perlu Dipantau

Sektor perkhidmatan adalah sektor yang bercirikan pengeluaran perkhidmatan bukan produk akhir, yang dapat dinikmati dan ianya merangkumi perhatian, nasihat, pengalaman, dan perbincangan. Di Malaysia, sektor perkhidmatan menyumbang lebih daripada separuh KDNKnya, menjadikan sektor perkhidmatan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, produktiviti dan pendapatan negara. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan jumlah hasil keseluruhan sektor perkhidmatan bagi 2023 adalah RM2.3 trilion, meningkat 8.4 peratus daripada RM2.1 trilion pada 2022.

Pelaksanaan kenaikan cukai perkhidmatan

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi itu disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit; pengangkutan dan penyimpanan; serta maklumat dan komunikasi masing-masing meningkat 7.7 peratus (+RM119.1 bilion); 15.8 peratus (+RM20.4 bilion); dan 5.3 peratus (+RM8.6 bilion) berbanding angka pada 2022.

Di dalam pembentangan belanjawan 2024 yang lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada dari 6% kepada 8% dan ianya akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2024 ini. Namun ianya tidak melibatkan perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

Tidak dinafikan, kenaikan cukai perkhidmatan akan memberi impak positif dan negatif kepada sosio-ekonomi negara. Kesan negatif yang ketara adalah peningkatan harga perkhidmatan. Menurut Ketua Bahagian Percukaian Deloitte Malaysia, Sim Kwang Gek, kesan segera kepada perniagaan ialah peningkatan kos menjalankan perniagaan kerana kenaikan cukai perkhidmatan akan disalurkan kepada pengguna dan perniagaan pada akhirnya. Impak ‘cukai ke atas cukai’ akan menyebabkan harga meningkat lebih tinggi.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Kenaikan harga ini pula, jika tidak dapat dibendung dan berterusan, akan memberi impak yang lebih besar iaitu peningkatan kadar inflasi negara. Seterusnya, kesan inflasi ini akan mengecilkan nilai pendapatan benar penduduk dan kuasa beli. Tidak mustahil, kadar jenayah, kadar penceraian dan penderaan juga akan meningkat kerana manusia terpaksa menanggung kos hidup yang semakin meningkat. Disamping itu, peningkatan tahap kemiskinan juga berlaku terutama kemiskinan di kawasan bandar.

Foto hiasan

Dari satu sudut yang lain, kenaikan cukai perkhidmatan dapat meningkatkan sumber pendapatan negara, dan menjaga kestabilan fiskal negara. Mengikut laporan, kerajaan dijangka menjana pendapatan cukai perkhidmatan tambahan sebanyak RM900 juta pada tahun ini. Buat masa ini, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada pinjaman luar negara bagi menampung kos-kos pembangunan negara dan pemberian subsidi kerana ianya akan memburukkan lagi defisit fiskal negara.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, kerajaan akan berusaha untuk mengurangkan kadar defisit fiskal negara kepada 4.3 peratus pada tahun ini. Cukai tak langsung seperti cukai jualan dan perkhidmatan adalah antara solusi kepada penguncupan defisit fiskal kerana sektor perkhidmatan merupakan menyumbang lebih daripada separuh KDNK negara. Semakin tinggi aktiviti sektor ini, semakin tinggi juga kutipan cukai. Seterusnya, kejayaan kerajaan menangani masalah defisit akan meningkatkan kredibiliti kerajaan dan meningkatkan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Selain itu, kenaikan cukai perkhidmatan dapat menghalang pengguna menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak atau kurang penting seperti kelab malam, dewan tari menari, rumah awam, kelab persendirian, padang golf, pertaruhan dan perjudian.

Menurut Kementerian Kewangan, kenaikan cukai perkhidmatan ini tidak melibatkan perkhidmatan untuk makanan, minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik yang disifatkan satu keperluan bagi penduduk di Malaysia. Ini bermaksud cukai perkhidmatan untuk makanan, minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik masih kekal pada kadar 6%. Selain dari itu, pengguna perkhidmatan elektrik juga masih dapat menikmati kadar cukai perkhidmatan 6% pada tahap penggunaan melebihi 600 kilowatt, jika penggunaan kurang dari 600kilowatt, tiada cukai perkhidmatan dikenakan.

Dicadangkan agar kerajaan dapat memantau dengan baik perlaksanaan kenaikan cukai pendapatan ini supaya perlaksanaannya selari dengan apa yang dibentangkan di atas kertas, terutamanya melibatkan isu ketelusan maklumat, penyelewengan, kurang pematuhan, “cukai ke atas cukai”, dan lain-lain. Di samping itu, untuk melihat kembali kesesuaian pengecualian kenaikan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan pusat kesihatan bagi menjamin kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat.

Advertisement. Scroll to continue reading.
Dr. Nor Salwati Othman
+ posts

Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua, Jabatan Bisnes dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di [email protected]

Avatar
Ditulis oleh Dr. Nor Salwati Othman

Penulis merupakan Pensyarah Kanan dan Ketua, Jabatan Bisnes dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), dan boleh dihubungi di [email protected]

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Niat mahukan luahkan ketidakpuasan hati terhadap kakitangan di UTC Komtar, namun lain pula jadinya apabila netizen sokong staf tersebut untuk tolak permohonan ‘renew’ pasport...

Dunia

Kumpulan pertama jemaah dari negara Iran akhirnya dibenarkan ke Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah selepas 10 tahun. Memetik laporan berita rasmi IRNA, kumpulan...

Spotlight

Pelakon terkenal Thailand, Bright Vachirwait Chivaaree mengesahkan dirinya kini menjalinkan hubungan cinta bersama Nene Pornnappan Pornpenpipa, setelah gambarnya bersama pelakon tersebut bertebaran di media...

Filem

Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie telah mengarahkan filem pertama berjudul Rebel selepas bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd