Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Hafaz 30 Juzuk Al-Quran, Pemuda Orang Asli Suku Temiar Terima Anugerah Khas Maal Hijrah

Siapa sangka alunan ayat suci al-Quran yang pada awalnya disangka sebagai sebuah lagu ketika berada di sekolah berasrama menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan seorang pemuda Orang Asli sehingga berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dan menerima Anugerah Khas sempena Maal Hijrah Negeri Perak tahun ini.

Dengar alunan al-Quran sebelum memeluk Islam

Memetik laporan daripada Bernama, Osman Hamzah, 25, daripada suku Temiar berkata detik pertama mendengar bacaan al-Quran melalui sistem audio di surau asrama telah mencetuskan rasa ingin tahu terhadap alunan yang didengari serta maksud di sebaliknya.

“Pada masa itu saya tidak tahu itu ayat al-Quran, saya dengar macam lagu sahaja dan tertanya-tanya lagu apa yang dinyanyikan dan siapa yang menyanyikannya dan daripada situ saya mula bertanya kepada kawan-kawan Islam dan ustaz untuk mengetahui lebih lanjut, sebelum masuk Islam.
“Mula daripada situlah saya mendalami al-Quran dan mula belajar menghafal sewaktu bersekolah di tahfiz, sehingga berjaya menghafal 30 juzuk ketika berusia 23 sewaktu belajar di Darul Quran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1448 Hijrah di Dewan Konvensyen Casuarina, Meru Raya.

Aktif pelbagai program dakwah

Menurutnya, minat untuk mendalami Islam semakin berkembang apabila beliau banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan beragama Islam di asrama yang secara tidak langsung membuka ruang untuk memahami kehidupan seorang Muslim.

“Ramai kawan saya beragama Islam, saya lihat cara hidup mereka, aktiviti mereka dan saya rasa teruja untuk tahu lebih lanjut, dari situlah saya mengambil langkah untuk mengenali Islam sendiri.
“Selepas memeluk Islam, saya juga aktif menyertai pelbagai program dakwah bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk turun ke kampung-kampung Orang Asli, bagi menyampaikan bantuan dan berkongsi kefahaman mengenai ajaran Islam,” katanya yang kini melanjutkan pengajian Ijazah al-Quran dan Sunnah di Universiti Sultan Azlan Shah.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu menyifatkan Anugerah Khas yang diterima daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai satu pengiktirafan besar yang menjadi pemangkin untuk terus berbakti kepada masyarakat serta menyebarkan kefahaman Islam dengan lebih meluas.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Dalam majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan beberapa anugerah lain termasuk Anugerah Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Anugerah Siti Khadijah, Anugerah Saidina Ali dan Anugerah Ikon Asnaf.

Sumber: Bernama

Siti Hajar
Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Bisnes

Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu mengenai dua transaksi kemasukan wang berjumlah keseluruhan RM8 juta daripada akaun Fashion Valet Sdn Bhd ke dalam...

Lokal

Seorang bapa berusia 53 tahun dihukum penjara 105 tahun selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan merogol anak perempuan sulungnya antara Disember 2025 hingga 19...

Lokal

Polis Kelantan melaksanakan pelan strategi baharu bagi memperkukuh usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri itu, termasuk menetapkan sasaran setiap ketua balai perlu...

Lokal

Sekumpulan enam pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pasir Salak mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menghasilkan kapsul kalsium daripada tulang ikan bandar raya yang...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd