Seorang guru bahasa Inggeris berusia 39 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat kenyataan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, yang didakwa boleh menimbulkan kegentaran awam.
Guru nafi dakwaan
Mengikut laporan Harian Metro, tertuduh, Siti Hajar Aflah Sharuddin, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Foto: Harian Metro
Mengikut petuduhan, ibu tunggal tersebut didakwa memuat naik kenyataan melalui akaun TikTok miliknya pada jam 1.20 tengah hari, 6 Ogos lalu. Kenyataaan itu kemudian dilihat dan didengar seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
Kes berkenaan dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Artikel lain: MCMC Kenal Pasti Suspek Menyamar Doktor Bedah Zara Qairina
Sebelum ini, kematian Zara Qairina, pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Limauan, Sabah, menarik perhatian umum selepas beliau ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.
Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). Namun, tular di media sosial dakwaan kononnya arwah dimasukkan ke dalam mesin basuh, sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai serta memberi tekanan kepada keluarga mangsa.

Foto: Astro Awani
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan sebanyak 15 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran berita palsu kes berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini turut mendedahkan seorang guru mengakui kandungan TikTok mengenai dakwaan mesin basuh itu hanyalah dibuat sebagai content.
Sumber: Harian Metro (Suraya Roslan)
