Ejen Ali The Movie ditayang semula di pawagam terpilih seluruh negara bermula 6 Februari lalu sebagai inisiatif dari Primeworks Studios (PWS) dan Wau Animation selepas filem itu mencetus fenomena luar biasa di Malaysia, Singapura dan Brunei ketika dipertonton pada 2019.
Memetik laporan Berita Harian, tayangan semula Ejen Ali The Movie ditayang semula bukan sekadar memberi peluang penonton mengimbas pengembaraan epik Ejen Ali di kota futuristik Cyberjaya, sebaliknya dijanjikan kejutan istimewa buat peminat.
Ejen Ali The Movie ditayang semula
PWS dalam satu kenyataan berkata, buat pertama kalinya, tayangan itu akan menampilkan sedutan eksklusif berdurasi lima minit sekuel Ejen Ali The Movie 2.
Sedutan eksklusif itu menyaksikan gambaran pertama penuh debaran yang akan membawa penonton ke dalam misi baharu penuh cabaran apabila Ejen Ali menyarung mantel Projek Satria, iaitu sut perisai baharu yang direka khas untuknya.
Ini membolehkan Ejen Ali menguasai keempat-empat teras Meta Advance Tactical Agency (MATA) iaitu Teno (teknologi), Neuro (strategi), Kombat (seni pertempuran) dan Inviso (penyamaran).
Dalam tempoh enam minggu tayangannya, filem animasi penuh aksi itu mencatat rekod luar biasa selepas meraih RM30 juta, sekaligus menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.
PWS menyebut 2019 diangkat sebagai ‘Tahun Animasi Malaysia’ dengan Ejen Ali The Movie menjadi peneraju utama, sekaligus membuktikan karya tempatan terus menjadi pilihan hati rakyat Malaysia berbanding judul animasi antarabangsa popular lain.
Pernah jadi fenomena, Ejen Ali The Movie ditayang semula
“Sejak kemunculan pada 2016, siri animasi Ejen Ali berjaya memikat hati penonton pelbagai generasi, bukan sahaja di Malaysia, malah di lebih 65 negara.
“Ini termasuk Disney Asia, Nickelodeon India, MNCTV dan RTV di Indonesia serta AlMajeed TV di Timur Tengah dan Afrika Utara.
“Dengan jutaan penonton di TV3 dan pengikut setia di YouTube, francais ini mencipta sejarah sebagai IP animasi Malaysia pertama yang bekerjasama dengan Walt Disney Company Southeast Asia.
“Ini mengukuhkan kedudukan Ejen Ali sebagai pelopor dalam industri animasi tempatan dan memperluas pengaruhnya di peringkat global,” kata kenyataan itu.
Artikel lain: Lima Beranak Rentung, Kediaman Musnah Dalam Kebakaran
Ejen Ali The Movie ditayang semula bukan sahaja mengembalikan nostalgia, namun ia juga menjadi usaha untuk menghidupkan kembali semangat Ejen Ali menjelang pelancaran sekuel yang ditunggu-tunggu, Ejen Ali The Movie 2.
Keterujaan terhadap sekuel ini terus memuncak sejak ‘teaser’ rasmi pertama diperkenalkan pada September 2024, ditambah pula dengan pengenalan lagu tema rasminya, Hanya Kamu dendangan maestro muzik, Datuk M Nasir.
Lagu pertama daripada album runut bunyi filem yang dijangka bakal meletup ini dilancarkan pada 31 Januari lalu. Lagu ini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Single Hanya Kamu adalah gabungan ikonik antara bunyi muzik elektronik Ejen Ali dengan kehebatan vokal M Nasir yang terkenal melalui koleksi lagu hit dalam pelbagai genre termasuk pop, rock dan irama tradisional.
Single ini menandakan kemunculan berani M Nasir dalam dunia muzik baharu yang ditulis bersama komposer terkenal Azri Yunus dari WAU Animation dengan lirik nukilan sifu muzik itu sendiri.
Sumber: Berita Harian (Fatin Farhana Ariffin)
