Kementerian Pertahanan (MINDEF) membuka ruang kerjasama industri pertahanan antara syarikat Malaysia dan Perancis menerusi beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta usaha mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.
Kerjasama itu melibatkan syarikat tempatan termasuk Weststar Aerospace, MILDEF International Technologies Sdn Bhd dan Global Turbine Asia Sdn Bhd bersama syarikat pertahanan Perancis seperti Thales dan Safran Helicopter Engines.
Menerusi kerjasama berkenaan, syarikat Malaysia berpeluang meneroka teknologi satelit, peluru berpandu, keselamatan siber, sistem komunikasi taktikal serta pembaikan komponen enjin helikopter, sekali gus membina keupayaan sendiri dalam industri pertahanan berteknologi tinggi.
Antara yang menjadi tumpuan adalah pertukaran dua MoU antara Weststar Aerospace dan Thales bagi meneroka tiga bidang strategik, iaitu teknologi satelit, peluru berpandu dan roket serta keselamatan siber.
Bagi teknologi satelit, kerjasama itu merangkumi komunikasi, infrastruktur kawalan dan pemprosesan data, manakala bidang peluru berpandu serta roket memberi tumpuan kepada sistem panduan, penyasaran dan integrasi platform.
Dalam aspek keselamatan siber pula, kedua-dua pihak akan meneroka kerjasama berkaitan perlindungan rangkaian, penyulitan data dan pertahanan siber taktikal.
Sementara itu, MILDEF International Technologies Sdn Bhd dan Thales turut bertukar MoU bagi integrasi sistem komunikasi taktikal serta pengurusan medan tempur untuk 136 kenderaan perisai Tarantula keluaran tempatan.
Kerjasama tersebut turut merangkumi pengujian sistem, latihan teknikal dan sokongan penyelenggaraan bagi membangunkan kepakaran tempatan dalam pengendalian teknologi pertahanan.
Dalam sektor aeroangkasa, Global Turbine Asia Sdn Bhd dan Safran Helicopter Engines pula bertukar MoU bagi pembangunan inisiatif Helicopter Engine Accessory Repair & Training (HEART).
Inisiatif itu memberi penekanan kepada pemindahan teknologi pembaikan komponen enjin helikopter, latihan teknikal serta pembangunan kepakaran tempatan.
Penglibatan syarikat Malaysia turut diperluas dalam bidang penyelenggaraan kapal selam apabila Hexide Engineering Services Sdn Bhd berperanan sebagai rakan perkhidmatan tempatan eksklusif bagi kapal selam kepada Safran, selain menjadi penerima pemindahan teknologi.
Peranan itu merupakan sebahagian daripada kerjasama Boustead Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES) dengan Safran menerusi Surat Niat (LOI) bagi menaik taraf sistem Search Optronic Mast dan Attack Periscope kapal selam Scorpène milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Keseluruhan kerjasama industri berkenaan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem hiliran industri pertahanan, pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran dan penglibatan syarikat tempatan.
MINDEF menjelaskan, hubungan dengan pengeluar peralatan asal dari Perancis diharap dapat membuka peluang lebih luas kepada syarikat Malaysia untuk menyertai pasaran pertahanan antarabangsa.
“Hubungan dengan pengeluar peralatan asal (OEM) Perancis juga diharap dapat membuka ruang kepada syarikat Malaysia untuk menyertai ‘global supply chain’ industri pertahanan antarabangsa, sekali gus memperluas peluang perniagaan dan meningkatkan daya saing industri tempatan,” jelas kementerian itu.
Pada masa sama, pembangunan industri pertahanan negara bukan hanya tertumpu kepada penguasaan teknologi baharu, sebaliknya turut menyasarkan keupayaan Malaysia untuk membangunkan, mengintegrasi, menyelenggara dan menyokong sistem pertahanan secara berdikari.
“Matlamat akhirnya adalah untuk membangunkan ‘sovereign capability’ Malaysia supaya negara memiliki keupayaan sendiri dalam membangunkan, mengintegrasi, menyelenggara dan menyokong sistem pertahanan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar,” katanya.
Melalui kerjasama strategik Malaysia dan Perancis itu, pembangunan kepakaran serta pemindahan teknologi diharap dapat menjadi pemangkin kepada industri pertahanan tempatan yang lebih berdaya saing, selain memperluas peluang syarikat Malaysia menyertai rantaian bekalan global.











































