Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan bahawa seseorang pemimpin yang berbohong kepada rakyat bukan sahaja melakukan dosa, malah dianggap mengkhianati kepentingan negara.
Pertahan pencapaian pentadbiran
Memetik laporan daripada BH Singapura, beliau berkata demikian ketika mempertahankan pencapaian pentadbirannya dalam mencapai sasaran sara diri makanan, selain menolak dakwaan bahawa kerajaan mengelirukan rakyat mengenai prestasi sebenar negara.
“Berdosalah pemerintah yang berbohong kepada rakyatnya. Berdosalah pemimpin yang berbohong kepada rakyatnya. Pemimpin yang tidak setia kepada kepentingan negara mengatasi segala kepentingan lain adalah pengkhianat,” katanya ketika melancarkan Program Mandatori Biodiesel B50 di Karawang, Jawa Barat, pada 9 Julai.
Kerajaan pimpinan capai sasaran
Menurut Prabowo, kerajaan pimpinannya berjaya mencapai sasaran sara diri makanan dalam tempoh setahun, jauh lebih awal berbanding sasaran asal iaitu empat tahun.
“Alhamdulillah, kita telah membuktikan bahawa kita mampu menjamin bekalan makanan untuk rakyat. Kita sudah mencapai sara diri makanan dalam tempoh setahun, walaupun sasaran asal ialah empat tahun,” katanya.
Pada masa sama, beliau mendakwa masih terdapat pihak yang memperlekehkan usaha kerajaan dan menuduh pemerintah menyampaikan maklumat tidak benar kepada rakyat.
“Ada yang menganggap diri mereka bijak, memperlekehkan usaha pemerintah, menghalang dan menuduh kerajaan berbohong bahawa kita belum mencapai sara diri makanan,” katanya.
Prabowo bagaimanapun menegaskan bahawa pemerintah tidak boleh sama sekali menipu rakyat demi kepentingan politik.










































