UMNO Johor menyifatkan insiden bendera negara China yang dipasang pada replika roket di sebuah karnival di Johor sebagai tidak sensitif dan dibimbangi boleh mencetuskan provikasi dalam masyarakat berbilang kaum.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, Sahrihan Jani berkata laporan polis berhubung insiden itu sudah dibuat Pemuda UMNO Bahagian Ledang pada Rabu.
Bendera China pada replika roket dibimbangi cetus provokasi
“Sejak awal isu ini diviralkan, saya telah berhubung dengan pihak Majlis Daerah Tangkak menyuarakan rasa kebimbangan bahawa perkara ini akan mencetuskan kegelisahan masyarakat.
“Saya menekankan bahawa satu tindakan yang proaktif termasuk membatalkan permit dan penganjuran program tersebut sekiranya benar pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak Majlis Daerah Tangkak dan pihak keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, Sahrihan turut mendesak agar tindakan yang tegas perlu diambil termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival serta merta.
Katanya lagi, beliau dimaklumkan karnival tersebut bakal dihentikan pada hari ini disamping turut menegaskan permohonan maaf sahaja tidak cukup bagi menutup kesalahan itu.
“Saya difahamkan secara tidak rasmi bahawa karnival ini akan dihentikan operasinya bermula pada hari ini, 26/12/2024. Saya mendesak supaya tindakan tegas diambil.
“Ini termasuk pendakwaan kes di mahkamah terhadap penganjur dan penutupan operasi karnival dengan serta merta. Sebarang permohonan maaf tidak cukup untuk menutup kesalahan ini,” ujarnya.
Sementara itu, Sahrihan juga mengucapkan terima kasih kepada Pemuda UMNO Ledang yang dengan pantas membuat laporan polis sebaik insiden itu menjadi tular.
Artikel lain: Satu Lagi Penemuan Bangkai Kucing, Anjing Di Universiti Malaya
“Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Pemuda UMNO Ledang yang terkehadapan dengan membuat laporan polis dan mengeluarkan kenyataan awal berhubung isu ini.
“Ini menunjuukan bahawa UMNO sama sekali tidak akan bersekongkol dengan tindakan mana-mana pihak yang menggugat maruah dan keselamatan negara.
“Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih atas segala komen dan keprihatinan masyarakat terhadap perkara ini. Jelas bahawa kita boleh bersama dalam satu perkara yang melibatkan maruah dan keselamatan negara,” katanya.
Disamping itu, Sahrihan turut menasihatkan penganjur untuk lebih sensitif dengan budaya dan tidak mencetuskan provokasi yang boleh mencetuskan kegelisahan masyarakat serta berhati-hati terutama dalam soal perpaduan dan keselamatan negara.
“Saya menegaskan bahawa masyarakat di Gambir sangat menjunjun tinggi kehidupan harmoni dan bersatu padu serta saling menghormati adat kebudayaan dan kepercayaan masing-masing.
“Masyarakat di Gambir juga jelas menolak sebarang usaha tersirat yang bertujuan mempromosikan sesuatu yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan sayangkan Malaysia negara yang tercinta ini,” ujarnya.
Sebelum ini, tular foto memaparkan sebuah replika roket gergasi dengan bendera China yang dilekatkan pada bahagian sayapnya.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan kes itu masih dalam siasatan.
Sumber: Facebook UMNOJohorOfficial, Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)