Bekas pemain bola sepak Kelantan bersama rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan melarikan seorang pemilik kedai emas di Kampung Palekbang, Tumpat pada Mei tahun lalu.
Memetik laporan daripada Berita Harian, tertuduh, Cik Hisammudin Hassan yang juga bekas penyerang Kelantan bersama Saufi Ariffin bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.\
Disyaki melarikan & kurung mangsa secara sulit
Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa secara bersama melarikan Marzuki Mustapha dengan niat untuk mengurung mangsa secara sulit dan salah pada 20 Mei tahun lalu di Kampung Palekbang.
Difahamkan, kesalahan terbabit didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, manakala Cik Hisammudin diwakili peguam dan Saufi tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah menetapkan jaminan RM12,000 seorang dengan sebutan semula kes pada 18 Mei ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis Kelantan masih mengesan beberapa individu lain dipercayai terlibat dalam kes penculikan seorang pemilik kedai emas berusia 44 tahun di kawasan berkenaan, dengan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.







































