Pengorbanan Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban ketika menjalani latihan ketenteraan dihargai apabila beliau dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal secara anumerta.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan memaklumkan, Sijil Kelulusan Kenaikan Pangkat itu diserahkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman kepada ibu Allahyarhamah, Zaleha Said, ketika lawatan kebajikan ke kediaman keluarga berkenaan di Taman Sri Lambak, Kluang, Johor, hari ini.
“Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip yang meninggal dunia akibat letupan dalam insiden semasa Latihan Membaling Grenad di Lapang Sasar Kem Hobart pada 16 Jun lalu, dinaikkan ke pangkat Lans Koperal secara anumerta,” katanya.
Menurut TDM, Azhan turut menyampaikan sumbangan peribadi serta sumbangan daripada Yayasan Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) kepada keluarga Allahyarhamah.
Selain itu, keluarga Allahyarham turut menerima sumbangan kotak rezeki daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta Insurans Kelompok Koperasi Tentera yang disampaikan kepada bapa Allahyarhamah, Sungip Jais.
Dalam pada itu, ibu Allahyarhamah turut menerima pencen terbitan, pencen orang tanggungan dan Ex-Gratia orang tanggungan ibu berjumlah RM1,682.60 setiap bulan.
“Tentera Darat sentiasa memastikan kebajikan warga dan keluarga sentiasa terpelihara.
“Ia dilaksanakan dengan menentukan waris menerima hak dan kelayakan mengikut peraturan yang terdapat dalam perkhidmatan,” katanya.
Dalam kejadian 16 Jun lalu, dua anggota Tentera Darat maut selepas terkena letupan ketika mengikuti Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah.
Artikel lain: Tragedi Di Kem Hobart, 2 Anggota Tentera Maut Disyaki Akibat Letupan Bom Ketika Latihan
Mangsa ialah Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 21, dari Skuadron Pertama RAJD.
Kedua-dua anggota berkenaan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
Sumber: BH Online (Nor Azizah Mokhtar)











































