Menteri Afrika Selatan menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjelang pertengahan bulan Disember ini.
Gesa tangkap Netanyahu
Lapor agensi antarabangsa, Menteri Kepresidenan Afrika Selatan, Khumbudzo Ntshavheni menyifatkan ICC gagal sepenuhnya dalam mengelola isu-isu global.
“Dunia tidak boleh hanya sekadar berpeluk tubuh dan melihat kezaliman,”tegas Ntshavheni.
Sebelum ini, zionis Israel mendakwa mereka hanya mempertahankan diri sejak serangan dimulakan oleh Hamas pada 7 Oktober lalu.
Mereka juga mendakwa perbuatan Hamas itu telah menyebabkan 1,200 rakyatnya terkorban dan 200 lagi menjadi tebusan pasukan pejuang dari Palestin itu.
Bagaimanapun, Ntshavheni menegaskan, perbuatan kerajaan Israel itu hanya berusaha untuk menghapuskan rakyat Palestin di Gaza dan mahu menakluk wilayah itu.
Difahamkan, Afrika Selatan juga bersama dengan beberapa negara lain seperti Bangladesh, Bolivia, Comros dan Djibouti telah mengemukakan permohonan kepada ICC.
Ia dibuat agar ICC dapat membuat siasatan sama ada jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan telah dilakukan di Gaza.
Negara itu juga telah mengumumkan keputusan memanggil semula diplomatnya di Israel dan mencadangkan kedudukan Duta Israel di Pretoria sudah seperti “sukar dipertahankan atau dikekalkan” ekoran tekanan yang dikenakan.
Israel runding dengan Afrika Selatan?
Memetik laporan The Times of Israel, mereka telah memanggil duta Israel Eli Belotserkovsky ke Afrika Selatan untuk melakukan rundingan.
“Berdasarkan latar belakang komen baru-baru ini dari Afrika Selatan, duta Israel ke Afrika Selatan telah dipanggil untuk berunding di Baitulmaqdis,”menurut kenyataan ringkas daripada Kementerian Luar Negeri.
Artikel lain: Tolak Genjatan Senjata, Israel Mahu Perang Hingga Menang Pertempuran
Artikel lain: OIC Perlu Bertegas Tangani Isu Palestin
Sumber: Astro Awani, The Times of Israel