Kontroversi buku “Becoming Hannah: A Personal Journey,” yang telah ditapis oleh Perpustakaan Negara Malaysia adalah sebuah buku yang tidak dikategorikan buku agama.
Menurut laporan BH Online, Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menyatakan perihal demikian di hadapan Datuk Aliza Sulaiman ketika disoal peguam Sangeet Kaur Deo di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.
‘Becoming Hannah’ bukan buku agama
Foto: Berita Harian
Sangeet mewakili Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan pemimpin DAP itu terhadap Kamarul Zaman berhubung dua catatan Facebook beliau pada Mei 2017.
Sangeet: Saya ingin mendapat pengesahan bahawa Dr Kamarul sememangnya sedar bahawa buku “Becoming Hannah: A Personal Journey,” telah pun dikatalogkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia di bawah Cataloguing-in-Publication Data?
Kamarul Zaman: Betul.
Sangeet: Jadi, Dr Kamarul setuju dengan saya setelah ditapis Perpustakaan Negara Malaysia, buku ini telah dikatalog (dikategorikan) di bawah tajuk Yeoh, Hannah, 1979; Women Politicians-Malaysia dan Malaysia-Politics and Government.
Kamarul Zaman: Setuju.
Sangeet: Jadi, setuju saya katakan ia (buku berkenaan) tidak dikategorikan sebagai buku agama.
Kamarul Zaman: Setuju.
Kamarul Zaman yang merupakan defendan tunggal dalam kes saman itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa perkataan ‘Personal Journey’ bermaksud satu kisah dan perjalanan peribadi Ahli Parlimen Segambut berkenaan.
Sangeet: Memandangkan buku ini adalah ‘Personal Journey’, jadi tiada isu penyebaran (agama Kristian) dan Kamarul Zaman menjawab, tidak setuju.
Foto: Utusan Malaysia
Hannah selaku plaintif dalam saman difailkan pada 2022, berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Kamarul Zaman turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Perbicaraan di hadapan Datuk Aliza Sulaiman bersambung esok.
Artikel lain: Isu Buku ‘Becoming Hannah’, Polis Terima 182 Laporan Terhadap Hannah Yeoh
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember tahun lalu telah menolak saman fitnah yang difailkan Hannah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan pada satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu.