Pendakwah dan penulis buku terkenal, Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim meninggal dunia pada jam 7.19 malam Selasa.
Memetik laporan Berita Harian, Allahyarham yang juga merupakan seorang profesor perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam.
Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim Hidap Kanser Paru-Paru Tahap Empat
Foto: Facebook Muhd Kamil Ibrahim
Allahyarham meninggal dunia disebabkan penyakit kanser yang dihadapinya.
Difahamkan, arwah disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat pada awal Disember tahun lalu.
Berita duka itu dikongsikan oleh isterinya Raudzah Roslan di Facebook.
“Ya Allah ampunilah dia, kasihanilah dia, lindungilah dia dan maafkanlah dia.
“Semoga Allah merahmatimu,” tulisnya ringkas menerusi kiriman di Facebook.
Menerusi perkongsiannya sebelum ini, Allahyarham yang dimasukkan ke hospital berada dalam keadaan kritikal sejak minggu lalu.
“Keadaan suamiku Muhd Kamil Ibrahim agak kritikal pagi ini.
“Beliau mohon maaf pada semua. Doakan dipermudahkan urusannya di dunia, di alam kubur lebih lagi di padang mahsyar akhirat nanti,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Negeri Shah Alam pagi ini.
Artikel lain: Rawat 5,000 Pesakit CKD Tanpa Dialisis, Prof Dr Ab Aziz Terima Sijil Asia Book Of Records
Sementara itu, rakan-rakan dan juga pelajar yang mengenali Allahyarham turut menukilkan ucapan takziah di media sosial.
Naskah nukilan Allahyarham yang meraih sambutan salah satunya bertajuk, Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman.
Sumber: Berita Harian (Fahmy A Rosli), Facebook Raudzah Roslan