Operasi mencari anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi yang dipercayai dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi Sungai Merah di Hutan Royal Belum, Perak, masih diteruskan pada hari ke-12.
Foto: Sinar Harian
Menurut laporan Sinar Harian, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, operasi pencarian melibatkan lapan kumpulan dari Angkatan Tentera Darat dengan seramai enam pegawai dan 126 Lain-Lain Pangkat dari 23 Rejimen Askar Melayu Diraja, dua Rejimen Renjer DiRaja dan 22 komando.
“Tiada penglibatan dari agensi lain kerana operasi ini melibatkan operasi carilamat dalam kawasan hutan. Kita akan teruskan usaha ini, (sebagai contoh) pada misi operasi mencari anggota di sempadan Sarawak dan Brunei ia mengambil masa 19 hari, dalam kes ini baru ke-12.
“Kebiasaanya misi menyelamat ini 14 hari, kita akan teruskan operasi ini sehingga komander memutuskan untuk hentikan operasi, sekiranya ada pentunjuk baharu, operasi diteruskan,” katanya.
Foto: Sinar Harian
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson pada Khamis.
Kejadian berlaku pada 30 November lalu, sebelum TDM dalam satu kenyataan mengesahkan kehilangan dua anggotanya semasa melakukan rondaan dalam Operasi Kota Echo/Foxtrot Siri 6/2024.
Tujuh anggota lain yang terlibat dalam kejadian itu berjaya diselamatkan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari yang sama, namun Ahmad Zulhmi serta Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin daripada pasukan 21 Komando Kem Sungai Udang, Melaka, hilang.
Mayat Mohd Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak telah dijumpai di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari Markas Trup pada 1 Disember dan disahkan meninggal dunia.
Sumber: Sinar Harian (Norafidah Assan)