Luluh hati membayangkan nasib lima beradik termasuk seorang kelainan upaya yang hilang sudah kasih sayang dan tempat bergantung apabila kedua ibu bapa mereka maut selepas dilanggar pemandu dipercayai mabuk dalam kejadian di Jalan Besar Jalan Mesjid, Pasir Gudang, pada Sabtu lalu.
Memetik laporan Berita Harian, keluarga pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu terbabit.
Menurut ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, tindakan itu bukan sahaja sebagai pengajaran tetapi bagi membela nasib lima cucunya yang kini bergelar yatim piatu.
Foto: Berita Harian
“Saya reda dengan ketetapan dan ketentuan Allah SWT, tetapi tindakan undang-undang terhadap pelaku mesti dikenakan.
“Banyak kisah pemandu mabuk hanya didenda yang mana jumlah itu tidak setimpal dengan penderitaan dan kesengsaraan dihadapi keluarga terutama anak-anak yang ditinggalkan tanpa apa-apa seperti cucu-cucu saya.
“Ya makcik akan saman. Esok, insya-Allah peguam yang menguruskan kes kemalangan anak keenam saya akan ziarah kami dan berbincang hal ini,” katanya.
Foto: Kosmo!
Menurut Ramlah, jika ditakdirkan kemenangan berpihak kepadanya, ia boleh digunakan untuk menyara lima cucunya pada masa akan datang.
“Arwah anak dan menantu meninggalkan lima anak mereka, perjalanan hidup mereka masih panjang. Makcik doa supaya Allah SWT panjangkan usia makcik dan pakcik untuk menyara mereka semua sehingga boleh berdikari sendiri.
“Makcik takut kalau makcik ‘pergi’ dulu, mereka tiada simpanan dan tiada kewangan. Makcik tidak bekerja, hanya pakcik yang bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah pasar raya,” ujarnya.
Foto: Carian Google
Tambahnya lagi, anak yang lain membantu sekadarnya kerana masing-masing mempunyai keluarga dan tanggungan.
Semalam, media melaporkan mangsa suami isteri maut selepas motosikal jenis Honda Vario dinaiki mereka dirempuh kereta Perodua Alza dipandu lelaki mabuk itu.
Menurut laporan polis, pemandu kereta berkenaan dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan, namun hasil ujian air kencing dilakukan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah.
Sumber: Berita Harian (Omar Ahmad)