Sebanyak RM19 bilion jumlah deposit daripada produk Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) diterima dengan bilangan akaun berjumlah 6.61 juta sehingga 30 September lalu.
BMS 2024 membudaya amalan menabung
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, Simpan SSPN akan terus kekal sebagai produk yang berdaya saing dan menjadi tabung pendidikan utama pilihan ibu bapa bagi tujuan pendidikan tinggi.
“Dengan sokongan padu para pelanggan, saya optimis PTPTN akan dapat mencapai sasaran deposit Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 sebanyak RM220 juta.
“Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Simpan SSPN dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga tahun 2027.
“Usaha ini mencerminkan sokongan kerajaan dalam menggalakkan penabungan dari awal usia untuk pendidikan tinggi. Inisiatif ini juga sewajarnya menjadi peluang keemasan kepada golongan ibu bapa untuk menyimpan melalui Simpan SSPN,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, beliau menjayakan perasmian penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 di Paradigm Mall, Petaling Jaya pada Sabtu.
Menurut kenyataan tersebut, BMS 2024 adalah program signature PTPTN dalam membudayakan amalan penabungan dan mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat Malaysia.
“Program ini bermula pada 26 September hingga 31 Oktober 2024 dan tahun 2024 merupakan tahun ketujuh penganjurannya sejak tahun 2018.
“Ini salah satu usaha untuk menyebarluas manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun,” ujar kenyataan itu.
Mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda, ia mengangkat idea dan kreativiti untuk merangsang daya imaginasi dan perkembangan fikiran kanak-kanak bagi meneroka ilmu dan pengalaman baharu serta menyerlahkan potensi mereka.
Artikel lain: Program C2C Bantu Lahir Graduan Bersaing Bersama PTPTN
Tema itu juga sangat signifikan dengan moto PTPTN “Peluang Kejayaan Anda” iaitu memenuhi impian anak-anak untuk mengecapi kejayaan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan persediaan kewangan yang baik.
Turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2024, penyampaian hadiah pemenang Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 Kategori Cabutan Siri WOW! Merdeka dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.
Sementara itu, buat julung kalinya PTPTN melancarkan lagu Simpan SSPN berjudul Terbang Tinggi yang melambangkan komitmen PTPTN dalam usaha menyuburkan amalan penabungan dalam kalangan masyarakat Malaysia sempena 20 tahun Simpan SSPN.