Syarikat perisian komputer, Adobe Systems Incorporated (Adobe) dilaporkan telah disaman Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) berikutan penawaran pelan langganan yang dikatakan tidak telus kepada pengguna.
Menerusi satu laporan Amanz, syarikat yang berpangkalan di San Jose, California, Amerika Syarikat tersebut dilaporkan mengenakan pelan bayaran bulanan yang tidak wajar untuk langganan perisian Adobe selama setahun sehingga menyebabkan DOJ mengambil tindakan undang-undang.
Foto: Google
“Sekiranya pelanggan ingin menamatkan lebih awal daripada tempoh tamat, mereka akan dikenakan caj penalti yang mahal,” katanya.
Selain itu, Adobe juga dikatakan tidak memaparkan terma dan syarat langganan yang menyatakan bayaran penalti sehingga 50% baki langganan setahun akan dikenakan kepada pelanggan.
Foto: Amanz
“Bayaran penalti yang tinggi ini kerap tular di media sosial kerana ramai pelanggan tidak menyedari terma dan syarat yang tidak dipaparkan jelas ketika memulakan langganan,” ujarnya.
Sementara itu, Adobe mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan DOJ tersebut dan memaklumkan akan bertindak untuk melawannya di dalam perbicaraan di mahkamah kelak.
Foto: thepinoyofw.com
Untuk makluman, Adobe menyediakan pelbagai perisian komputer seperti Photoshop, Lightroom, Adobe Stock, Adobe Express, Indesign dan banyak lagi yang berfungsi untuk memudahkan penggunanya menggunakan komputer dengan perisian mereka dan ia boleh dilanggan dalm bentuk individu, perniagaan, pelajar dan sekolah serta sekolah dan universiti.
Sumber: Amanz (Effi Saharudin)