Pihak polis sedang giat mengesan individu yang menghantar bungkusan berisi bahan letupan seperti bom kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, di Putrajaya, pada Rabu.
Memetik laporan Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi memaklumkan pihaknya masih menjejaki individu yang terlibat memandangkan keterangan daripada menteri dan beberapa orang saksi di lokasi tersebut telah diperolehi.
Foto: Utusan Malaysia
Dalam pada itu, Asmadi berkata, perkembangan selanjutnya bakal dimaklumkan sekali gus memberitahu bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung kes ini mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, keterangan YB (Yang Berhormat) Menteri serta beberapa saksi telah diambil, usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, setelah Unit Pemusnah Bom melakukan inspeksi dengan bantuan dua ekor anjing pengesan dan teknologi, pihak polis mengesahkan bahawa bungkusan tersebut sebagai satu ancaman bom palsu.
Foto: Kosmo! Online
Sementara itu, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pula memperlihatkan bahawa terdapat kurier yang menghantar bungkusan terbabit sekitar jam 11.19 pagi, semalam.
Bungkusan berisi paip polyvinyl chloride (PVC), wayar dan ‘timer’ itu kemudiannya telah dibawa naik ke tingkat 14 pada pukul 2.45 petang, pada hari yang sama.
Foto: Free Malaysia Today
Sumber: Kosmo! Online (Tuan Nurhidayah Tuan Ab.Ghani)