Lesen kasino kedua yang dikatakan sedang dibincangkan telah dinafikan sekali gus menganggap ia bukan satu keperluan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Memetik laporan Bernama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sektor seperti tranformasi digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI) merupakan fokus utama negara.
Foto: Bernama
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor-sektor tersebut sudah memadai untuk mendorong kemajuan negara pada masa akan datang.
“Kami menumpukan transformasi digital, peralihan tenaga (dan) AI, dan kami percaya ini adalah (antara industri yang) mencukupi untuk memacu negara ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi pleno Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 yang bertempat di Doha pada Selasa.
Foto: Bernama
Selain menafikan dakwaan terbabit, Anwar turut menjelaskan bahawa lesen kedua kasino tersebut bukanlah satu keperluan di bawah pentadbirannya.
“Sama sekali tidak! Malaysia tidak perlu terlibat dalam perniagaan kasino (kedua),” ujarnya.
Terdahulu, Anwar pernah menafikan dakwaan dilaporkan media luar berhubung perbincangan untuk mengeluarkan lesen kedua kasino di Forest City, Johor.
Sekadar info, Malaysia hanya memiliki satu lesen yang telah di keluarkan di Genting sejak tahun 1969 dan kumpulan itu turut menjalankan operasi kasino di United Kingdom, United States dan Singapura.
Sumber: Bernama