Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Lumpur mengarahkan sebuah syarikat tempatan membayar pampasan berjumlah lebih RM1.5 juta kepada 74 pekerja warga Bangladesh setelah terlibat dengan kegagalan membayar gaji dan pelanggaran hak asasi pekerja.
Pekerja Bangladesh menang tuntutan

Foto: FMT
Memetik laporan Berita Harian, perintah itu dibuat susulan tuntutan rasmi menerusi pertubuhan hak asasi manusia, Tenaganita, selepas didakwa tidak memberikan pekerjaan, gaji serta kemudahan asas yang telah dijanjikan sebaik tiba di Malaysia.
Menurut Tenaganita, keputusan itu merupakan satu kejayaan besar dalam menjaga kebajikan dan keadilan pekerja sekali gus menjadi pengajaran kepada syarikat tempatan bahawa perundangan buruh negara tidak pernah mengetepikan komuniti pekerja migran.
“Kami amat menghargai tindakan tegas JTK Kuala Lumpur yang mengiktiraf kesahihan tuntutan pekerja migran ini.
“Ini bukti bahawa majikan tidak boleh lagi sewenang-wenangnya mengeksploitasi pekerja asing tanpa sebarang akibat,” kata Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A. Das, baru-baru ini.
Kes yang diketuai oleh Perunding dan Pegawai Kes Utama Tenaganita, Abdul Aziz Ismail mendedahkan bahawa pekerja Bangladesh itu direkrut di bawah sistem kuota rasmi pengambilan buruh asing negara.
Abdul Aziz memberitahu, pekerja terbabit termasuk penuntut utama, Md Kabir Hossain telah membayar sehingga RM25,000 sebagai yuran pengambilan untuk pekerjaan yang dijanjikan melalui permit sah.
Bagaimanapun, apabila sampai di Malaysia, mereka dibiarkan tanpa pekerjaan, tidak menerima gaji dan ditempatkan di asrama sempit serta kotor di kawasan Pudu, Kuala Lumpur.

Foto: The Sun
“Mereka hidup berbulan-bulan dalam keadaan terdesak tanpa pendapatan dan ada antara mereka hampir membunuh diri akibat tekanan melampau. Ini bukan satu kes terpencil. Kami dokumentasikan ratusan kes seumpama ini,” kata Abdul Aziz.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa keputusan JTK merupakan satu tindakan tegas dan berani untuk mengheret syarikat besar ke muka pengadilan demi menuntut hak asasi manusia yang sewajarnya.
Pertubuhan itu turut menggesa agar pihak berkuasa mengenal pasti pekerja lain yang mengalami nasib sama agar hak mereka tidak terus ditindas dan mendapat pembelaan sewajarnya.
“Keadilan untuk pekerja migran tidak boleh lagi menjadi pengecualian. Ia mesti dijadikan standard baharu dalam sistem keadilan buruh negara ini,” tegas Glorene.
Artikel lain: Abai 93 Pekerja Asing, KDN Dan KSM Ambil Tindakan Tegas Terhadap Majikan
Difahamkan, Tenaganita menggesa kerajaan agar melakukan reformasi meneyeluruh sistem pengambilan migran dan memastikan bayaran kepada pekerja dibuat tanpa sebarang penangguhan demi membendung masalah eksploitasi migran secara berterusan.
Sumber: Sinar Harian (Khairil Anwar Mohd Amin)
