Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Tuisyen Percuma: MINDEF Sasar Kecemerlangan Anak Anggota Tentera Dalam SPM

Dalam usaha meningkatkan kualiti dan prestasi pendidikan anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), fokus dan penekanan harus menjangkaui aspek penyediaan kelengkapan dan kemudahan persekolahan. Sudah pastilah persekitaran persekolahan yang selamat, lengkap dan terkini akan menjamin keselesaan serta keseronokan anak-anak ATM yang bersekolah di dalam kem-kem di seluruh negara. Dalam hal ini, penyediaan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi tujuan penaiktarafan serta penyelenggaraan infrastruktur sudah pastilah sesuatu yang tidak boleh dinafikan kepentingannya. Perkara tersebut akan memastikan tahap infrastruktur fizikal sekolah-sekolah rendah dan menengah yang berada di dalam kem-kem tentera seluruh negara berada dalam keadaan yang baik.

Malah, inisiatif pemberian dana awal berjumlah RM50 seorang kepada 9355 anak-anak ATM yang memulakan persekolahan tahun 1 pada tahun ini bagi tujuan pembukaan akuan simpanan PTPTN adalah sesuatu yang bersifat inovatif. Insentif sedemikian sudah pasti akan menyuburkan budaya menyimpan demi pendidikan tinggi anak-anak dalam kalangan anggota ATM.

Fokus Pendidikan Berkualiti

Namun, satu perkara yang harus turut menjadi perhatian serius adalah kualiti serta prestasi pendidikan pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak anggota ATM. Ia mesti menjadi satu lonjakan dan fokus baharu dalam inisiatif kebajikan ATM. Akses kepada pendidikan serta prasarana yang baik mesti disusuli atau dilengkapkan pula dengan pengisian yang berkualiti dan cemerlang. Jika tidak, segala inisiatif tersebut akan hanya bersifat luaran dan tidak memberi kesan yang optimum kepada prestasi pendidikan.

Dalam hal ini, tindakan Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin memperkenalkan inisiatif e-Perkasa SPM adalah satu intervensi penting yang sangat realistik dan diperlukan. Berdasarkan pelancarannya baru-baru ini, program tersebut mensasarkan semua 969 pelajar Tingkatan 5 dari kalangan anak-anak ATM yang akan menduduki peperiksaan pada akhir tahun ini. Selain dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan LTAT, program tuisyen tersebut memasukkan 5 elemen penting yang menarik.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Pertama, program ini akan dilaksanakan secara dalam talian. Pendekatan ini akan membolehkan kesemua pelajar tingkatan 5 yang bakal mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini mendapat akses yang mudah kepada program tuisyen tersebut. Ini termasuklah pelajar dari kalangan anak anggota ATM yang tinggal di luar kem-kem tentera. Pendekatan ini sekali gus mengatasi kekangan fizikal dan masa memandangkan program tuisyen tersebut boleh disusun dengan lebih anjal dan mengikut keperluan pelajar. Malah, seperti yang pernah ditekankan oleh West Virginia University pada tahun lalu, di sebalik keanjalan yang ditawarkan, pendekatan pembelajaran secara dalam talian secara tidak langsung akan membantu pembentukan kemahiran dan disiplin diri pelajar.

Kedua, program tuisyen ini akan digerakkan oleh guru-guru terlatih dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ia bukan suatu program tuisyen yang bersifat popular atau mengutamakan keuntungan. Sebaliknya, dilakukan dengan mengutamakan aspek bimbingan, mentor serta pemudah cara dari kalangan guru terlatih dari sebuah universiti pendidikan primer tanahair. Pelajar akan mendapat bimbingan daripada guru-guru terlatih yang berpengalaman dan ini akan memberikan mereka kelebihan dalam memahami kurikulum dan teknik menjawab soalan. Garapan kerjasama sebegini bukan sahaja bersifat inovatif. Malah, dapat memastikan kualiti serta pengisian yang baik menjadi keutamaan.

Ketiga, kesemua 969 pelajar tingkatan 5 dari kalangan anak-anak ATM yang terlibat akan dibekalkan dengan sebuah Chromebook agar dapat mengikuti program tuisyen tersebut dengan baik. Selain memastikan tiada keciciran, pemberian Chromebook tersebut merupakan satu inisiatif yang boleh menjadi galakan kepada para pelajar yang terlibat. Paling penting, penggunaan Chromebook sebagai instrumen pembelajaran atas talian menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif dan moden. Ciri ini mampu mencipta suasana pembelajaran yang positif dan selari dengan sistem Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Keempat, program tuisyen ini mensasarkan manfaat yang besar kerana melibatkan subjek atau mata pelajaran kritikal yang memerlukan perhatian dan bimbingan tambahan. Perkara ini menjadi satu nilai tambah yang besar dalam memastikan para peserta berpeluang meningkatkan pemahaman serta prestasi mereka dalam subjek-subjek kritikal tersebut.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Aspek terakhir yang paling penting, kesemua pelaksanaan program tuisyen e-Perkasa SPM serta pemberian Chromebook tersebut adalah percuma dan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan melalui Yayasan LTAT. Maka ia tidak akan mendatang sebarang kos kepada para ibu bapa yang terdiri daripada anggota ATM yang sedang dalam perkhidmatan.

Pendidikan Kunci Masa Depan

Pendidikan adalah kunci kepada peluang masa depan yang lebih baik. Dengan membantu anak-anak anggota ATM, kita bukan sahaja mengiktiraf sumbangan anggota tentera kepada negara. Sebaliknya, kita sebenarnya sedang membuat pelaburan masa depan yang penting. Apabila kita memberikan akses kepada pendidikan yang berkualiti, inisiatif tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa kesejahteraan anggota tentera dan keluarga mereka sentiasa menjadi perhatian. Perkara ini sangat penting kerana anak-anak anggota tentera sering kali menghadapi cabaran yang unik, termasuk mobiliti yang tinggi dan waktu yang sukar untuk beradaptasi dengan persekitaran baharu. Apatah lagi ramai dari kalangan mereka yang terpaksa berjauhan dengan ibu atau bapa yang sering bertugas di luar kawasan. Kekurangan serta kekangan masa tersebut mesti diisi dan digantikan dengan komitmen Kerajaan untuk memberi fokus yang selayaknya kepada kualiti pendidikan mereka.

Kehidupan sebagai anak anggota tentera yang sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain ada kalanya menimbulkan kesulitan dalam mengikuti pelajaran. Tambahan pula, kekurangan sokongan dalam pendidikan sering kali menghalang mereka daripada mencapai potensi penuh. Dengan adanya kelas tambahan percuma seperti ini, sekurang-kurangnya mereka berpeluang mendapat perhatian serta bimbingan yang diperlukan sebelum menghadapi peperiksaan SPM.

Dalam dunia yang semakin kompetitif ini, memiliki asas pendidikan yang kukuh bukan lagi menjadi satu pilihan. Sebaliknya, perkara tersebut bersifat in tempore dan sudah menjadi satu keperluan atau prasyarat yang tidak boleh dikompromikan sama sekali. Apatah lagi dalam konteks pendidikan Malaysia, SPM adalah batu loncatan yang sangat penting untuk pelajar melanjutkan pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi. Barangkali pengalaman pernah berkhidmat sebagai mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Khaled Nordin dilihat memahami betapa kritikalnya pendidikan peringkat SPM dalam menentukan hala tuju pengajian di peringkat tertiary.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sesungguhnya setiap anak berhak mendapat pendidikan yang baik, tidak kiralah apa sekali pun latar belakang mereka. Inisiatif yang diperkenalkan oleh Menteri Pertahanan ini boleh menjadi satu intervensi kritikal yang mempunyai nilai tambah tersendiri dalam usaha melonjakkan prestasi pencapaian pendidikan anak-anak anggota tentera. Dengan pendidikan yang baik, kita bukan sahaja membuka minda generasi masa hadapan malah membebaskan anak muda hari ini dari kepompong kejahilan. Benarlah satu ungkapan Latin yang diangkat oleh College of Charleston, AS, sapientia ipsa libertas, betapa pendidikan itu adalah sesuatu yang membebaskan. Semoga inisiatif yang disusun dengan cara yang tidak membebankan ibu bapa seperti ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program serupa pada masa hadapan. Yang pasti, kita mesti terus menzahirkan kepada semua bahawa pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan masa depan yang tidak boleh dielakkan. Sebagai sebuah bangsa dan negara, kita mesti terus memberikan perhatian dalam perkara ini.

Avatar
Ditulis oleh Mizan Muhammad

Pensyarah, Jabatan Undang-undang, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Dunia

Polis Thailand bakal mendakwa pemandu bas sekolah yang terbakar sehingga mengakibatkan kematian 23 murid dan guru di negara itu pada Selasa selepas suspek serah...

Nasional

Kementerian Pengangkutan (MOT) akur bagi melonggarkan salah satu syarat kelayakan Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B...

Lokal

Negeri Johor tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular yang melibatkan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di...

Lokal

Istiadat perkahwinan Putera Diraja Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan pilihan hatinya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan bakal berlangsung pada 24,...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd