Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump mengumumkan keputusan untuk menangguhkan sebarang serangan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu bagi memberi ruang kepada rundingan damai antara kedua-dua pihak.
Trump berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Pakistan, Field Marshal Asim Munir yang meminta AS menangguhkan serangan yang dirancang.

Foto: DON EMMERT/AFP/Getty Images
Menurut beliau, penangguhan itu juga tertakluk kepada persetujuan Iran untuk membuka Selat Hormuz secara penuh, segera dan selamat.
“Berdasarkan permintaan mereka dan dengan syarat Republik Islam Iran bersetuju membuka Selat Hormuz sepenuhnya, saya bersetuju untuk menangguhkan pengeboman serta serangan terhadap Iran selama dua minggu,” katanya dalam satu kenyataan di akaun X The White House.
Trump menjelaskan langkah itu akan menjadi gencatan senjata dua hala, sekali gus memberi ruang kepada kedua-dua negara memuktamadkan perjanjian damai jangka panjang.
Beliau berkata, AS sebelum ini telah mencapai dan melepasi semua objektif ketenteraan yang dirancang, selain rundingan ke arah perjanjian damai dengan Iran kini berada pada tahap yang sangat hampir dimuktamadkan.

Foto arkib: AFP
Dalam masa sama, Trump memaklumkan pihaknya telah menerima cadangan rundingan 10 perkara daripada Iran, yang menurutnya boleh dijadikan asas kukuh untuk perbincangan lanjut.
“Kami percaya ia adalah asas yang boleh dilaksanakan untuk rundingan. Hampir semua perkara yang sebelum ini menjadi pertikaian antara Amerika Syarikat dan Iran telah dipersetujui,” ujarnya.
Menurut Trump, tempoh dua minggu itu akan digunakan bagi memuktamadkan perjanjian yang berpotensi membawa kepada keamanan jangka panjang antara Iran, AS serta negara-negara di Timur Tengah.
Beliau turut menyatakan bahawa sebagai Presiden AS dan mewakili negara-negara di rantau Timur Tengah, adalah satu penghormatan baginya melihat konflik berpanjangan itu kini hampir mencapai penyelesaian.
“Masalah jangka panjang ini kini hampir menemui jalan penyelesaian,” katanya lagi.
Sumber: X The White House






































