Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengeluarkan amaran keras bahawa seluruh tamadun Iran berdepan risiko kemusnahan sekiranya negara itu gagal mematuhi tuntutan yang ditetapkan menjelang tarikh akhir tengah malam.
“Kemungkinan besar akan berlaku”
Kenyataan itu dimuat naik menerusi platform Truth Social miliknya, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih besar.
“Keseluruhan tamadun akan musnah malam ini dan tidak akan kembali lagi. Saya tidak mahu ini berlaku, tetapi kemungkinan besar ia akan berlaku,” tulis Trump.
Walaupun tidak memperincikan langkah seterusnya, Trump sebelum ini menegaskan kemampuan tentera AS untuk menyerang infrastruktur utama seperti jambatan dan loji janakuasa di Iran, selain menetapkan syarat supaya Tehran menamatkan penutupan laluan strategik Selat Hormuz.
Dalam perkembangan sama, cadangan gencatan senjata sementara yang dibincangkan dilaporkan belum mencapai kata sepakat, dengan pihak Iran menolak tekanan AS dan menuntut penamatan perang sepenuhnya, bukan sekadar jeda sementara.
Trump bagaimanapun masih memberi bayangan kemungkinan perjanjian pada saat akhir, sambil menyatakan perubahan kepimpinan mungkin membuka ruang kepada penyelesaian yang tidak dijangka.
“Sekarang kita telah mencapai perubahan rejim secara lengkap dan menyeluruh, di mana pemikiran berbeza, lebih bijak dan kurang radikal mengambil alih, mungkin sesuatu luar yang biasa boleh berlaku, siapa tahu? Kita akan mengetahuinya malam ini,” katanya.
Sejak akhir Februari, ketegangan dilaporkan semakin memuncak apabila serangan udara melibatkan AS dan Israel berterusan, termasuk ke atas kemudahan penting seperti terminal minyak di Pulau Kharg, sekali gus menambah kebimbangan terhadap kestabilan rantau tersebut.







































