Kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis hari ini bagi membantah dakwaan serta fitnah yang tular di media sosial terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu, Mohd Asmmadi Abdullah.
Memetik BERNAMA, laporan itu dibuat susulan penyebaran sebuah video oleh seorang pengguna media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas berhubung penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih.
Tok Batin KOA Lata Kinjang, Rani Bah Ulin berkata, pihaknya memandang serius tuduhan kononnya Mohd Asmmadi menyembunyikan atau menyimpan Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita berkenaan sebelum ditemui oleh penduduk Orang Asli berhampiran KOA Lubuk Gaharu.
“Dakwaan itu tidak berasas dan amat mengguris perasaan masyarakat Orang Asli seolah-olah dianggap kami ini masyarakat yang cuba mengambil kesempatan atas kesempitan orang lain.
“Kami melihatnya sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi tetapi juga kepada seluruh institusi kebatinan, yang selama ini berperanan membantu masyarakat tanpa mengira kaum, terutama ketika berlaku kecemasan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video di TikTok yang mendakwa Jaslinda telah “disimpan” oleh tok batin selama dua minggu dan jika perkara itu tidak menjadi tular, individu berkenaan berkemungkinan akan mengahwini wanita tersebut.
Sementara itu, wakil belia Orang Asli, Eris Joshan Chew Ho Beng, berkata tindakan individu terbabit bukan sahaja menjejaskan reputasi tok batin yang terlibat dalam operasi pencarian, malah memberi persepsi negatif terhadap keseluruhan masyarakat Orang Asli di negara ini.
Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan berkenaan bagi memastikan maruah dan kedudukan institusi tok batin terus dihormati.
Katanya, masyarakat Orang Asli juga mempunyai harga diri yang perlu dipelihara dan tidak wajar dijadikan bahan jenaka atau sasaran tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan imej komuniti tersebut.
Eris turut berharap tindakan undang-undang sewajarnya dapat dikenakan terhadap individu terbabit sebagai pengajaran kepada orang ramai agar lebih bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial serta tidak memperlekeh institusi tok batin dan masyarakat Orang Asli.
Sumber: BH Online








































