Berikutan insiden pesawat Azerbaijan Airlines J2-8243 terhempas, salah seorang penumpang yang ucap dua kalimah syahadah sambil merakam keadaan dalam kapal terbang terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Menerusi satu hantaran di X, MenchOsint telah memuat naik video lelaki tersebut yang tidak lekang membaca dua kalimah syahadah sebelum menghantar rakaman tersebut kepada isterinya.
Penumpang Azerbaijan Airlines ucap dua kalimah syahadah terselamat
Pada video itu juga, lelaki yang tidak dikenali nama itu turut menunjukkan keadaan pesawat berkenaan yang mana kelihatan topeng oksigen juga sudah diturunkan.
Walaupun dalam keadaan yang sangat mencemaskan disertakan pula dengan jeritan dari penumpang lain, lelaki tersebut kekal tenang sambil melihat keadaan di luar pesawat.
Selepas terhempasnya pesawat tersebut, orang ramai meramal bahawa tidak ada penumpang yang akan terselamat dari kejadian tersebut kerana sebaik menyentuh tanah, kelihatan api yang besar menyelubungi badan kapal terbang berkenaan.
Bagaimanapun, selepas pihak berkuasa menjalankan misi menyelamat, mereka mengesahkan seramai 29 orang terselamat termasuk 3 kanak-kanak, manakala 38 penumpang lain maut.
Penumpang yang terselamat itu termasuklah lelaki yang tidak lekang membaca dua kalimha syahadah dan kecederaan yang dia alami tidak serius dan masih mampu berjalan seperti biasa walaupun kedengaran dia agak kepenatan.
Selepas penumpang lelaki itu keluar daripada pesawat tersebut, dia serta merta mengucapkan Allahu Akbar, tanda kesyukuran terselamat dari kejadian itu.
Pada masa yang sama, lelaki itu turut menunjukkan keadaan sekeliling kapal terbang itu terhempas dan kelihatan badan pesawat itu telah terbelah dua.
Artikel lain: Kehebatan ‘Skill’ Mendarat Kecemasan Juruterbang MAS Jadi Tumpuan Seluruh Dunia
Bahagian kapal terbang yang sedang dikelilingi penyelamat itu kelihatan tiada tanda terbakar, namun kelihatan satu kawasan sedang berasap dipercayai bahagian kedua kapal tersebut.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan pesawat Azerbaijan Airlines yang kelihatan terbang dalam altitud rendah sebelum jatuh dan terhempas lalu terbakar.
Pesawat yang membawa 67 penumpang dan lima krew kabin itu telah terhempas berdekatan Aktau di sekitar Barat Kazakhstan.
Pesawat tersebut telah memulakan penerbangan dari ibu kota Azerbaijan iaitu Baku dan sedang menuju ke Grozny, Russia dan hilang dari radar ketika sedang melalui republik Dagestan di sepanjang Laut Caspian.
Ia kemudian muncul semula kira-kira sejam kemudian di luar laluan asalnya dan terbang rendah di atas air berhampiran barat Kazahkstan sebelum terhempas
Sumber: X MenchOsint, MariamRobly