Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Ramadan Platform Bina Kesedaran Diri, Sosial

Penulisan oleh: Dr. Azmawaty Mohamad Nor, Siti Nurmaliya Zakaria

Bulan Ramadan bukan sahaja bulan di mana umat Islam menunaikan ibadah puasa iaitu mengerjakan Rukun Islam ketiga, tetapi bulan Ramadan juga merupakan masa di mana umat Islam melakukan refleksi diri melalui ibadah solat, menunaikan sunnah yang dituntut, melakukan amal kebaikan, meluangkan masa dan merapatkan silaturrahim keluarga serta banyak lagi perkara yang bermanfaat. Apabila menjalankan ibadah puasa, ia membantu memperkuat dan memperkukuhkan lagi kawalan diri serta kesabaran seseorang individu. Justeru, di antara aspek penting yang ditekankan dalam bulan Ramadan adalah kesedaran diri dan kesedaran sosial.

Kesedaran diri dipertajam melalui amalan-amalan seperti puasa, solat dan zikir. Puasa bukan sekadar perbuatan menahan diri dari makan, minum dan perbuatan yang membatalkan puasa tetapi juga memerlukan kesedaran diri yang tinggi dalam memenuhi kewajipan. Ia membantu seseorang individu menyedari kekuatan dirinya untuk mengawal hawa nafsu dan meningkatkan disiplin diri. Disiplin ini tercermin dalam jadual harian yang lebih teratur semasa bulan puasa. Dari sahur hingga berbuka, dari kerja hingga urusan rumah tangga, setiap aktiviti dijalankan dengan teratur. Rutin ini secara tidak langsung melatih diri untuk lebih berdisiplin dalam mengatur masa dan menjalankan aktiviti yang lebih bermanfaat sepanjang hari.

Tibanya bulan puasa pasti adanya bazar-bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai juadah untuk berbuka. Kehadiran bazar Ramadan sering kali mengundang pengunjung untuk terpengaruh dengan pelbagai hidangan yang ditawarkan. Oleh itu, kesedaran diri yang tinggi memainkan peranan penting dalam mengawal nafsu membeli atau boros semasa melawat bazar tersebut. Nafsu membeli yang tidak terkawal boleh membawa kepada pembaziran yang tidak diingini.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Oleh itu, kesedaran diri yang tinggi membantu seseorang untuk mengenali keperluan sebenar dan membezakan antara keinginan dan keperluan. Individu yang memiliki kesedaran yang tinggi akan memahami dengan jelas pentingnya tabiat kewangan yang sihat, menetapkan matlamat kewangan, menilai nilai sebenar produk, merancang belanja dengan bijak, dan menyedari pilihan alternatif sebelum membuat pembelian. Dengan demikian, kesedaran diri yang matang dapat membantu seseorang menjaga keseimbangan kewangan dan mengelakkan pembaziran semasa bulan puasa.

Dalam keadaan perut sedang menahan kelaparan ditambah pula kehausan dan keletihan, pastinya emosi menjadi pemicu utama yang memainkan peranan. Justeru itu, kesedaran diri memainkan peranan yang penting dalam mengawal emosi semasa bulan Ramadan. Kesedaran diri dalam konteks mengawal emosi di sini membantu seseorang individu untuk mengenali batasan diri mereka dalam menangani tekanan dan emosi yang mungkin timbul.

Ini juga membantu mereka untuk mengekalkan kestabilan emosi dan menjaga kestabilan mental dengan mengambil langkah-langkah proaktif untuk menguruskan stress dengan baik. Kesejahteraan emosi juga dapat ditingkatkan dengan mengamalkan kesedaran diri melalui ibadah seperti solat, zikir dan tadabbur disamping dapat merenungkan diri, menguatkan hubungan dengan Allah dan mencapai ketenangan batin. Jelaslah bahawa kesedaran diri yang tinggi membantu individu untuk menguruskan stres, meningkatkan sabar dan mencapai kesejahteraan emosi yang lebih baik.

Dalam kerancakan menggambarkan pentingnya kesedaran diri dalam bulan Ramadan, tidak dilupakan peranan penting kesedaran sosial. Seringkali kita dengar kesedaran diri, tapi kali ini apa pula kesedaran sosial?

Advertisement. Scroll to continue reading.

Kesedaran sosial merupakan pemahaman mendalam tentang realiti sosial yang melingkungi individu serta tanggungjawab untuk membantu orang lain. Kesedaran sosial melibatkan pengakuan akan keadaan orang lain serta keperluan mereka dan memotivasikan individu untuk bertindak secara positif untuk membantu mengatasi masalah dan memperbaiki keadaan sosial.

Antara kesedaran sosial yang boleh dipupuk semasa bulan Ramadan termasuk amalan-amalan kebajikan dan solidariti seperti memberi sedekah, berbuka puasa bersama-sama dan memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Contoh yang boleh dilihat adalah apabila seseorang individu memiliki kesedaran sosial yang tinggi dan mungkin akan meluangkan masa untuk mempersiapkan makanan untuk orang-orang yang kurang bernasib baik atau mengumpulkan sumbangan untuk membantu keluarga yang memerlukan.

Mungkin juga ada segelintir yang mengambil inisiatif untuk menyokong program-program masyarakat seperti kempen pemakanan bagi golongan miskin atau program bantuan kepada anak yatim. Bukan itu sahaja, saling bertukar-tukar juadah berbuka puasa dengan jiran tetangga juga merupakan bentuk kesedaran sosial yang penting dalam membina komuntiti yang harmoni dan penyayang.

Melalui amalan-amalan tersebut, seseorang tidak hanya menguatkan kesedaran diri mereka tentang keperluan orang lain, tetapi juga memperlihatkan kepekaan sosial yang tinggi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Kesedaran sosial yang diperoleh melalui amalan-amalan seperti ini membawa manfaat yang besar bukan hanya kepada individu itu sendiri, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Ini menegaskan bahawa bulan Ramadan bukan hanya tentang ibadah dan puasa semata-mata, tetapi juga merupakan peluang untuk memperkukuhkan kesedaran diri dan sosial, membina hubungan yang baik dengan Allah dan sesama manusia, serta memperbaiki masyarakat secara keseluruhan.

Dr. Azmawaty Mohamad Nor
+ posts

Kedua-dua penulis adalah dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

Avatar

Kedua-dua penulis adalah dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected]

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Niat mahukan luahkan ketidakpuasan hati terhadap kakitangan di UTC Komtar, namun lain pula jadinya apabila netizen sokong staf tersebut untuk tolak permohonan ‘renew’ pasport...

Dunia

Kumpulan pertama jemaah dari negara Iran akhirnya dibenarkan ke Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah selepas 10 tahun. Memetik laporan berita rasmi IRNA, kumpulan...

Spotlight

Pelakon terkenal Thailand, Bright Vachirwait Chivaaree mengesahkan dirinya kini menjalinkan hubungan cinta bersama Nene Pornnappan Pornpenpipa, setelah gambarnya bersama pelakon tersebut bertebaran di media...

Filem

Penyanyi dan pelakon, Datuk Awie telah mengarahkan filem pertama berjudul Rebel selepas bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd